Thursday, June 1, 2023

Ulama Akhirat akan Banyak Peringatkan Tentang Mazmumah

 

Ilmuwan dunia ada, ilmuwan akhirat ada. Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya'nya, antara tanda ilmuwan akhirat ialah mereka BANYAK berbicara (memperingatkan, menghuraikan, memberatkan, mempedulikan, mengajarkan pencegahan dan pengubatan) tentang sifat2 mazmumah. Sifat2 mazmumah ini ialah sifat2 hati yang kotor. Keterbalikan daripada hal ini ertinya ilmuwan2 dunia pula akan jarang, kurang atau tidak menyentuh tentang sifat2 mazmumah.


Dari satu sudut, mengapa agaknya ulama2 dunia tidak mahu atau kurang mahu menyentuh tentang pelajaran sifat2 mazmumah? Kerana sebahagian daripada sifat2 itu banyak kena dengan diri mereka sendiri.


Imam al-Ghazali mengambil contoh di Basrah yang terkenal sebagai pusat ilmu2 agama. Pernah di Basrah ada 120 orang guru/ penceramah/ pentazkirah dan seumpamanya yang sering menyampaikan nasihat2 dan peringatan2. Sungguhpun begitu, hanya 3 orang sahaja yang membicarakan tentang hal ehwal qalbu (hati, termasuklah sifat2 mazmumah) iaitu Sahl at-Tustari, As-Subaihi dan Abdul Rahim (yang kemudiannya diakui ramai cendekiawan sebagai wali-wali Allah). Orang2 yang menghadiri pengajaran 117 orang lagi itu tidak terkira ramainya sedangkan yang menghadiri pengajaran 3 orang ini tidak sampai pun 10 orang.


Mengapa begitu? Imam al-Ghazali memberikan satu jawapan ringkas sahaja iaitu, "Barang yang bernilai tinggi itu tidaklah layak selain untuk orang2 terpilih. (Isi2 pelajaran) yang dihidangkan kepada orang ramai itu (oleh 117 orang penceramah terkenal) hanyalah persoalan (hal2) yang dekat (biasa2) sahaja."


3 orang daripada 120 orang = 2.5% sahaja.

Ertinya daripada 40 orang pengajar, hanya 1 orang sahaja yang bercirikan ilmuwan akhirat, yang antaranya banyak membicarakan tentang sifat2 mazmumah.

Daripada 1000 orang pengajar, hanya 25 orang sahaja yang bercirikan ilmuwan akhirat.


Namun kita kena renungkan juga bahawa hal di atas berlaku pada zaman kegemilangan ulama2 dan ilmu2 agama dahulu kala. Jika pada zaman kita hari ini? Pastinya berkurang lagi. Mungkin sekadar 1% sahaja. Daripada 1000 pengajar, mungkin 10 orang sahaja yang bercirikan ilmuwan akhirat. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

31/5/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: