Saturday, March 18, 2023

Rawat Hulu Sungainya Juga

 

Kampung kita di hilir sungai. Airnya makin lama makin kotor. Dulu airnya sedap dibuat minum, bersih untuk mencuci pakaian, dan sesuai untuk mandi-manda. Tapi kini makin hari airnya makin tidak sedap untuk dimasukkan ke tekak, tinggal satu dua keluarga sahaja lagi yang masih mencuci pakaian di sungai, dan sudah jarang2 sangat orang mandi-manda. Jika ada pun yang berendam ialah kanak-kanak yang sesekali melepaskan gian mandi sungai. Itu pun setelah pulang ke rumah, ibu bapa akan menyuruh mereka bilas badan dengan air telaga di tepi rumah atau air hujan dalam tempayan di tepi tangga. Sungai di kampung kita seolah-olah terkena penyakit dan kesihatannya semakin memburuk dari sehari ke sehari. Airnya berbau, rupanya keruh kehitaman, rasanya tidak tawar sedap, dan ikan2 makin berkurangan. Tanaman pertaian yang disiram dnegan air sungai itu pun tidak berapa mahu menjadi.


Ramai yang sedia maklum akan masalah ini. Maka untuk menyihatkan kembali sungai, dibuatlah gotong-royong selalu - nampak agak sihatlah sikit2 tapi sekejap cuma. Dibuatlah peraturan2 agar jangan ada sampah dibuang ke sungai, jangan ada yang menuba (menyantau) ikan, jangan disalurkan sisa2 ternakan ke sana, tapi nampak lebih kurang juga kotor sungainya.


Bukan usaha2 berkaitan yang zahir2 sahaja dibuat, usaha2 berkaitan dengan yang ghaib2 juga ada. Ada yang berdoa, ada yang bersolat hajat, ada yang baca Yaasin beramai-ramai, ada pula yang buat ancak, ada yang berhubungan dengan penunggu sungai, ada yang memasukkan barang2 sakti ke dalam sungai - yang semua itu dilakukan untuk memulihkan sungai kampung kita. Tapi nampak gayanya... masih macam itu juga. Akhirnya lebih banyak penduduk kampung yang membiarkan sahaja sungai itu semakin uzur.


Sepatutnya selain daripada berdoa, gotong-royong dan usaha2 baik yang lain, keutamaan kena diberikan untuk membersihkan hulu sungai. Apabila hulu sungai sihat, insya-Allah sihatlah di hilirnya. Apabila jantung sihat, biasanya sihatlah yang lain2 juga. Apabila perut sihat, banyaklah sihat bahagian2 badan yang lain juga.


Ibarat penyakit kulit tertentu. Banyak orang berusaha menyembuh atau mengurangkannya tetapi buat usaha2 yang mudah2 sahaja. Tiap hari cuci2, pakai ubat sapu2, berdoa tiup2 dengan mulut, balut2 dengan tumbuhan, dan sebagainya. Padahal punca penyakit itu di perut. Maka perutlah yang kena dirawat terlebih dahulu. Apabila perutnya sudah sihat, insya-Allah sihatlah kembali kulitnya.


Tapi itulah, ada yang tak berapa hendak percaya bahawa penyakitnya itu berpunca dari dalam. Sebab itulah mereka terus bertahan mengubat dari luar2 sahaja. Ada pula yang percaya tetapi malas untuk mengusahakan kesihatan dalaman. Al-maklumlah, berubat dalaman ini nak kena telan ubat yang pahit2, nak kena pilih2 makanan berkhasiat, nak kena berpantang dan sebagainya. Kan semua itu menyusahkan? Jadi, lama-kelamaan semakin memburuklah kesihatan kulit mereka.


Ramai orang lebih suka merawat kesan, gejala, akibat atau hasil berbanding merawat punca. Habuk dan kotoran yang sudah berbulan di bawah tikar dibiarkan. Padahal di situlah puncanya. Sebaliknya habuk dan kotoran yang di atas dan sekitar tikar sahaja yang disapu. Alamatnya pagi petang malam ada banyak habuk dan kotoran. Letihlah kena selalu disapu dan banyak pula jumlahnya. Tetapi jika yang di bawah tikar itu dibersihkan, maka jarang2lah ada habuk dan kotoran di atas dan di sekelilingnya, jarang2lah kena menyapu, dan sedikit2 sahajalah jumlahnya.


Samalah halnya dengan hendak merawat hulu sungai. Hulu sungai nun jauh ke dalam hutan, nak kena mendaki bukit pula. Berjalan kaki sahaja sudah 6 jam untuk tiba ke sana. Nak kena berletih2, melalui kawasan duri, lubang, pacat, nyamuk rimba, babi hutan, haiwan2 berbisa... maka tak adalah yang mahu berkorban pergi merawat hulu sungai.


Punca penyakitnya di hulu, di awal, di tempat asal, di sebab utama. Ada orang2 yang menceroboh dan sudah mengubahsuai hulu sungai dan sekitarnya lalu kemudiannya mereka pergi sahaja dari sana dengan senang hati tanpa mahu bertanggungjawab. Maka penyakitnya akan turun dan muncul jelas di hilir. Semakin lama dibiarkan, semakin tidak sihatlah di hilir itu. Kampung kita juga yang kena.


Ada kampung2 lain yang mengambil langkah sedari awal. Sebaik2 sahaja para penceroboh berlalu, mereka dengan segeranya merawat hilir sungai kampung mereka. Hasilnya ada sungai yang kekal sihat. Alhamdulilah. Ada juga sungai yang terkesan tetapi tidaklah seteruk sungai kita. Penduduknya masih banyak yang minum air sungai, membasuh pakaian dan mandi-manda. Syukur. Sungai kita? Sedikit hari lagi mungkin langsung tidak sesuai dibuat minum, tidak ada lagi orang membasuh pakaian, dan penduduk berasa geli untuk mencelupkan kaki pun apatah lagi untuk mandi.


Antara kata sebahagian penduduk yang enggan merawat hulu sungai :

- Kita pulihkan masalah2 yang timbul itu di sini aje, di sungai kampung kita ni. Tak payahlah sampai nak bersusah-payah ke hulu sana untuk buat kerja2 pemulihan.

- Masalah di hilir ni tak ada kaitan dengan hulu le.

- Apa yang berlaku, kita redha je. Adalah hikmahnya mengapa Allah jadikan macam tu. Kita mana tahu rahsia Allah. Terima dan lalui je nasib sungai kampung kita ni.

- Alah, kalau Tuhan nak hulu nun cantik tapi hilir ni tak cantik pun - akan tetap hilir ni tak cantik juga! Kalau Tuhan nak hulu nun tak cantik tapi hilir ni cantik - akan tetap hilir ni cantik juga. Semua kuasa Allah. Dia Maha Berkuasa. Kita makhluk tiada daya upaya.

- Dah macam2 usaha dah dibuat. Macam tak dak apa perubahan pun. Kalau kita nak rawat yang di hulu nun pun, lebih kurang macam tu jugak le nanti hasilnya.

- Tak ada harapan dah. Cuma menunggu masa je sungai kita ni.

- Masalah2 dalam sungai kita ni dah bersarang beranak-pinak dah aih. Mana boleh buat apa dah. Rawat le hulu sungai nun dengan apa cara sekalipun, masalah2 dalam sungai kita ni dah bersebati dengan tanah dengan tumbuhan semua.

- Kita terus sahaja bertawakal dan bersabar. Kita berserah kepada Allah sepenuhnya.

- Aku tiap2 hari mandi di sungai tu sihat je pun.

- Allah buat sungai2 ni penuh dengan kekuatan2 ajaib secara semulajadi. Air dua kolah saja pun dah ada kekuatan tertentu, apatah lagi air sesungai! Pandai le sungai tu nak imunkan dan nak pulihkan diri dia sendiri.

Maka tak perlulah memulihkan puncanya.


Akhirnya sungai yang sudah lama terlantar menderita itu pun mati. Sebelum itu lagi kampung sudah semakin sunyi kerana banyak penduduk yang petani berhijrah bercucuk-tanam di kampung lain, yang nelayan berhijrah menyara hidup di sungai lain, dan yang berdayung membawa orang menyeberang setiap hari kini mencari makan di tempat lain.


Beginilah yang selalu terjadi kepada kesihatan diri, kerukunan petempatan, jemaah2, perkumpulan2, parti2, negara dan sebagainya. Wallahua'lam.


18/3/23


No comments: