Friday, March 10, 2023

Apabila Suami Isteri Saling Meninggi Suara

 

Soalan : Assalamualaikum tuan ustaz. Mana2 rumahtangga pun tentu ada berlaku pertengkaran. Sekiranya tak keberatan nak beritahu, saya teringin juga nak tahu apa tips tuan atau dalam kata lain apa yang tuan buat masa tuan suami isteri saling meninggi suara? Mungkin ada panduan untuk dikongsi dengan saya.


Jawapannya : Waalaikumussalam. Seingat sayalah, sepanjang lebih kurang 25 tahun saya dan isteri berumahtangga, kami tidak pernah saling meninggi suara. Berbeza pandangan memang ada tapi kalau saling bertengkar DAN meninggi suara, macam tak pernah ada. Saya ada meminta pengesahan daripada isteri dan jawapannya pun sama. Jadi, dari segi panduan2 yang berasaskan pengalaman, tidaklah dapat saya berikan kerana saya tiada pengalaman itu. Tetapi panduan2 yang sekadar berdasarkan ilmu, insya-Allah boleh saya kongsikan. (Tidak mustahil akan terdapat kekurangan atau kesalahan dalam jawapan saya, semoga dapat dipertimbangkan)


PERSEDIAAN SEBELUM BERLAKU :

1. Belajarlah ilmu tasawuf dan amalkannya. Jika sebelum mendirikan rumahtangga lagi sudah belajar dan beramal, lagilah bagus. Jika sudah berumahtangga, sama2lah pergi belajar. Umumnya ilmu al-islam (fekah) mendidik anggota, ilmu al-iman (akidah) mendidik akal, ilmu al-sa'ah mendidik tindakan dan ILMU TASAWUF mendidik HATI (qalbu). Jika masing2 hati sudah semakin membagus, insya-Allah susahlah hendak berlaku situasi saling meninggi suara. Atau jika berlaku pun, akan cepatlah redanya dan tidaklah berpanjang-panjangan.

2. Doa selalu dan berterusan. Mohon apa yang dihajati itu kepada Allah.

3. Pilih waktu dan suasana yang sesuai untuk mengatakan sesuatu kepada pasangan.


TINDAKAN KETIKA BERLAKU PULA, antara usahanya (secara umumnya) :


1. Mahu tak mahu, salah satu pihak kenalah lebih dahulu mengendurkan dan merendahkan suaranya. Kita pilihlah diri kita sendiri sebagai pencetusnya.


2. Ringkas kata, tidak ada keputusan atau penyelesaian YANG BAIK DAN BERMANFAAT dapat dibuat dalam keadaan saling bertengkar dan saling membising. Ingatkan kepada hati sendiri, dan ingatkan (cakapkan) kepada pasangan. Ajak sama2 berbincang dengan nada suara yang rendah. Dalam perbincangan itu, jika ada salah seorang meninggi suara atau mulai marah, terus henti rehat. Perbincangan akan disambung semula apabila kedua2 pihak sudah dapat merendahkan suara. Begitulah seterusnya. (Yang ini peringatkan selalu, bukan ketika sedang berlaku pertengkaran sahaja)


3. Ingat akan Allah. Ini yang paling penting. Biasanya masyarakat kita akan melafazkan dua kalimah syahadah, atau istighfar. Sesuai juga melafazkan selawat, nama Allah, Allahu Akbar atau sebagainya.


4. Jika sedang berdiri, ubah ke posisi duduk. Jika sedang duduk menegak, ubah ke posisi bersandar. Kendurkan/ longgarkan anggota badan. Insya-Allah semangat meluap2 untuk meninggi suara itu akan berkurangan.


5. Jarakkan diri. Biasanya pertengkaran akan memuncak apabila saling berhadapan dalam jarak yang dekat, dan akan semakin mengendur apabila jarak antara kedua-dua belah pihak semakin menjauh.


6. Segera ambil wuduk. Perlakuan ini memang dapat membantu.


7. Ingat bahawa mungkin ada orang lain yang sedang menyaksikan, atau ada orang sedang mendengar. Boleh jadi anak2, kaum keluarga, jiran tetangga dan sebagainya. Biarlah kita jadi contoh yang baik kepada mereka dan jangan kita sendiri yang menjatuhkan diri kita.


8. Makan (Masukkan sesuatu ke dalam mulut) seperti gula2, chewing gum, kekacang, kuaci, maruku, cengkih, coklat dan seumpamanya. Kita akan kurang sedikit berkata2.


9. Bagi yang mampu bertahan lama, tahanlah telinga. Setelah puas pasangan meluahkan suaranya, senyaplah dia.


10. Jika perkara yang diperkatakan itu masih sesuai ditangguhkan, kita tangguhkan ke satu kesempatan lain pula.


Begitulah antaranya. Semoga ada manfaatnya sedikit-sebanyak.


Namun kita sedia faham bahawa ada hal2 yang memerlukan keputusan segera dan ada hal2 yang lebih rumit daripada yang kita sangkakan. Maka panduan2 di atas sekadar pandangan umum sahaja. Wallahua'lam.


ANTARA PERLAKUAN YANG TIDAK SESUAI PULA :

Kita memang tidak meninggikan suara tetapi kita membalas dengan kata2 biasa atau bernada rendah yang isi kandungannya berisi racun dan duri yang menyakitkan hati pasangan seperti perli, hinaan, fitnah dan sebagainya. Tindakan sebegini tidak membantu.


9/3/23

No comments: