Friday, March 17, 2023

Mencari Ijazah dan Sanad Kitab Bidayatul Hidayah

 

Salam. Ustaz, saya ada ikuti pengajian kitab Bidayatul Hidayah dengan seorang tuan guru. Sudah banyak kali. Ada satu kemusykilan. Ini yang saya nak mohon pandangan ustaz.


Guru itu memang ok dan berkelayakan cuma dia tak ada sanad kitab Bidayatul Hidayah. Dalam kata lain, amalan2 di dalam kitab itu pun tidaklah dia bersanad. Kitab itu diajarnya setelah mendapat permintaan daripada ahli kariah. Isi pengajarannya memang bagus, tak ada masalah.


Di tempat lain tak jauh dari rumah saya ada seorang ustaz. Ustaz itu ada sanad kitab Bidayatul Hidayah. Tapi dia tak ajar kitab tu. Dia ajar kitab2 lain. Dulu dia pernah ajar kitab tu di tempat lain tapi sudah khatam kitabnya.


Persoalannya, apakah saya boleh teruskan pengajian dengan tuan guru itu dan mengamalkan amalan2 di dalamnya atau pun lebih baik saya tunggu ustaz itu mengajarkannya suatu hari kelak? Ataupun saya teruskan saja pengajian dan beramal tanpa sanad? Mohon pandangan.


JAWAPAN


Waalaikumussalam. Sanad kitab dan sanad amalan tidaklah mesti tetapi jika dapat amatlah bagus. Seboleh-bolehnya dapatkanlah. Tapi boleh sahaja teruskan pengajian dan beramal walaupun guru itu tidak bersanad. Namun saya suka cadangkan begini :


1. Teruskan pengajian dengan si tuan guru sebagaimana biasa. Dan..


2. Sambil2 itu, cari peluang supaya dapat bertemu dengan si ustaz pula untuk minta diijazahkan sanadnya (merangkumi amalan2 di dalamnya dan/atau sanad kitab itu keseluruhannya). Maklumkan kepadanya yang tuan memang ada belajar kitab itu dengan sekian2 orang, atau ada beramal dengan isi kandungan kitab itu. Sekarang cuma mahu diijazahkan sahaja oleh orang yang memiliki sanadnya. Nampak macam perkara kecil tetapi ia tetap memberi nilai tambah kepada kita yang tidak bersanad dan tidak diijazahkan. Insya-Allah akan dapat lebih barakah, lebih nur, lebih faham dan sebagainya sekalipun belajar dengan orang lain. Lebih bagus lagi jika si tuan guru itu sendiri pergi bertemu dengan si ustaz. Minta diijazahkan kitab dan amalan2 di dalamnya itu walaupun dia tidak pernah belajar dengan si ustaz.


(*Saya sendiri sudah beberapa kali didatangi orang2 yang minta diijazahkan amalan Zikir Harian Imam al-Ghazali yang 1000x sehari itu kerana mereka mengetahuinya dan mengamalkannya daripada pembacaan, tontonan atau diajarkan oleh guru2 yang lain tetapi guru2 itu bukan daripada Tarekat Ghazaliyah dan tidak punya sanadnya. Mereka bukan datang untuk berguru dengan saya tetapi sekadar mahu diijazahkan dan mahu bersanad sahaja. Yang sudah amalkan Bacaan 10 Harian Imam al-Ghazali pun ada juga. Sudah bertahun2 diamalkan, cuma mahu diijazahkan dan mendapatkan sanadnya. Maksudnya mereka jenis orang yang ada berfaham.)


3. Sesekali mohon (pujuk) si ustaz agar dia buat lagi pengajian kitab Bidayatul Hidayah (yang bersanad itu). Manalah tahukan tiba2 dia tergerak hati untuk mengulang syarah semula kitab tersebut.


Begitulah pandangan saya. Wallahua'lam.


16/3/23

No comments: