Wednesday, March 15, 2023

Jangkaan Mursyid Menjadi Belaka

Ada beberapa hal yang dipesan oleh mursyid sahaya (meninggal dunia pada tahun 1999) tentang hal2 yang akan sahaya lalui pada masa hadapan dan sampai sekarang ada sahaja hal2 berkaitan yang benar2 berlaku. Cuma ada yang segera berlakunya dan ada yang sampai lebih 20 tahun baru berlaku. Pada masa akan datang pun mungkin ada lagi. Wallahualam. Pada pandangan sahaya, beliau pun tidak tahu secara tepat pun cuma beliau ada memberi gambaran bahawa suatu hari nanti sahaya akan melalui situasi2 sebegini dan sebegini.


Antaranya kata beliau sahaya akan jadi perawat (pengamal perubatan Islami). "Miker ni bakal jadi muallij - mengubat orang," lebih kurang cakapnya seimbas lalu sahaja, sekali sahaja. Sahaya tidak berapa hendak percaya kerana sedar bahawa diri memang tidak ada tanjak untuk jadi perawat, dan kata2nya itu pun macam tidak nampak serius. Lebih berupa sembang2 kosong. Namun 6-7 tahun kemudian (2005), memang betul sahaya sudah mula banyak merawat orang. Pada 2009-2011 sahaya paling aktif merawat.


Katanya lagi suatu hari nanti sahaya boleh mentafsir mimpi2. Yang ini lagilah tidak saya yakini langsung kerana "jauh" sangat rasanya. Beliau memang ada melatih sahaya ilmu tafsir mimpi tetapi umumnya semua mimpi yang dijadikan bahan pembelajaran itu tidak dapat sahaya tafsirkan pun. Gagal belaka. Tetapi lebih kurang 8-9 tahun kemudian (2007-2008), ternyata sahaya dapat mentafsirkan banyak mimpi manusia sampailah sekarang.


Lagi katanya, Tarekat Ghazaliyah tidak boleh dibuka kepada orang lain melainkan setelah ada satu orang yang akan datang memintanya. Macam "konfiden" sungguh cakapnya (fikir sahaya ketika itu). Lamanya menanti. 13 tahun kemudian (2012) barulah datang orang pertama yang meminta Tarekat Ghazaliyah. Sekiranya dalam masa 13 tahun itu sahaya meninggal dunia atau hilang kewarasan, maka akan terputuslah Tarekat Ghazaliyah daripada jalur kami ini kerana sahaya seorang sahaja yang diangkat sebagai penerus beliau. Tetapi yang peliknya, entah bagaimana beliau nampak yakin sungguh ketika mengatakannya. Seolah2 tahu (bukan betul2 tahu).


Ada beberapa perkara lagi yang seumpama dengan kisah2 di atas seperti yang berkaitan dengan pengajaran rukun ihsan, pembukaan ilmu as-sa'ah, keizinan buat pengajian, petunjuk untuk mengajar kitab Ihya' 'Ulumuddin, dan lain-lain. Mungkin beliau mendapat maklumat umum daripada gerak hati, atau mimpi, atau ilham, atau sebagainya. Wallahualam.


15/3/23


No comments: