Friday, March 17, 2023

Sakit Jantung vs Sakit Qalbu

 

Engkau berasa ada yang tidak kena. Engkau pun pergi berjumpa dengan doktor jasmani (fizikal). Setelah bersoal jawab dan diperiksa, ternyata engkau ada masalah qalbun (organ/daging jantung hati). Engkau memang sangat risau dan mahu berubat. Memang bagus.


Tapi engkau masih berasa ada yang tidak kena lagi. Engkau pun pergi berjumpa dengan doktor ruhani (ahli tasawuf sufi). Setelah bersoal jawab dan diperiksa, ternyata engkau ada masalah qalbu (ruh, ruhani, hati, jiwa). Engkau lebih risau lagi dan sangat mahu berubat. Sangat bagus.


Tentulah seboleh2nya engkau tidak mahu sakit jantungmu menyebabkan engkau mati. Tetapi jika engkau mati kerana masalah jantung, hal itu masih tidak mengapa lagi kalau hendak dibandingkan dengan engkau mati dalam keadaan sakit qalbu. Pendek kata, sakit jantung itu akan berakhir di dunia ini, tetapi sakit qalbu itu akan dipersoal panjang dan dibalas di akhirat sana.


Sakit jantung boleh mendekatkan engkau dengan Allah tetapi sakit qalbu menjauhkan engkau daripada-Nya.

Sakit jantung boleh membawa pahala tetapi sakit qalbu membawa bala.

Sakit jantung boleh diganjar dengan kebaikan di akhirat sana tetapi sakit qalbu akan dibalas dengan azab seksa.


Sakit jantung ada ubatnya, doktornya, tempat rawatnya, ilmunya, pantang-larangnya, latihan2/riadah2nya, dan amalan2nya.

Sakit qalbu juga ada ubatnya, doktornya, tempat rawatnya, ilmunya, pantang-larangnya, latihan2/riafah2nya, dan amalan2nya.


Sakit jantung banyak orang ambil tahu tetapi sakit qalbu banyak orang buat tidak tahu.

Mengapa?

Antaranya kerana sakit jantung jika tidak diubat, maka banyaklah keseronokan keduniaan akan tersekat. Maka ramailah yang mahu berubat.

Sakit qalbu pula jika diubat, juga banyaklah keseronokan keduniaan akan tersekat.

Maka ramailah yang enggan berubat.


Engkau sukar untuk menyedari yang dirimu bermasalah jantung kecuali engkau bertemu dengan para ahlinya (pakarnya/ orang2 yang mahir tentangnya).

Engkau sukar untuk menyedari yang dirimu bermasalah qalbu kecuali engkau bertemu dengan para ahlinya.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

10/3/23

Syarahan kepada Kitab Latihan Qalbu (dalam kitab induk Ihya' 'Ulumuddin - Hujjatul Islam Imam al-Ghazali)

No comments: