"Tiang" cahaya atau light pillar (pillar of light) selalu muncul pada waktu malam di kawasan utara dunia seperti di Iceland, Norway, Alaska, Sweden, Kanada dan lain-lain. Namun sesekali ia muncul juga di kawasan-kawasan lain termasuklah di Nusantara. Di negara kita (Malaysia), kemunculannya pernah dilaporkan (ada yang difotokan) di Sabah pada 2006, 2014, 2015, 2017, 2019 dan 2023 (pada Januari lalu). Kemungkinan besar ia lebih sering terjadi cuma tidak disedari oleh orang ramai. Sabah dan Sulu merupakan kawasan yang selalu berlaku fenomena alam ini.
Tiang cahaya boleh muncul secara tunggal atau banyak. Kadang-kadang tiang-tiang cahaya itu sewarna dan kadang-kadang pelbagai warna. Ada gambar sebatang sahaja tiang cahaya yang berwarna merah, atau jingga, atau putih, atau sebagainya. Ada juga gambar yang menunjukkan banyak tiang yang terdiri daripada pelbagai warna. Ada tiang berwarna merah, ada yang berwarna kuning, hijau, putih atau jingga sebagaimana yang pernah kelihatan di Sabah.
Pada waktu siang juga terdapat fenomena yang sebegitu. Jika pada waktu malam ia dikenali sebagai tiang cahaya (light pillar), pada waku siang ia dikenali sebagai tiang matahari (sun pillar, solar pillar) yang biasa berlaku di horizon (ufuk, kaki langit) oleh cahaya matahari.
Tiang cahaya merupakan fenomena optik dalam rupa menegak yang terlihat di langit. Setakat ini, umumnya dipercayai ia terbentuk oleh pantulan cahaya melalui kristal ais yang terdapat di atmosfera bumi atau di awan. Refleksi cahaya dibiaskan oleh kristal ais tersebut. Lagi tinggi kristal ais, lagi tinggilah cahaya itu terlihat. Wallahua'lam. Tiang cahaya juga boleh terhasil daripada cahaya buatan manusia di bumi ini seperti lampu jalan dan benda-benda bercahaya tertentu yang lain.
Bolehkah tiang cahaya dihasilkan dengan sengaja oleh manusia. Hal ini tidaklah mustahil. Jika lampu jalan sahaja pun boleh membuatkan ia terhasil, maka dengan teknologi hari ini tentulah lebih lagi. Wallahua'lam.
(*Di New York, ada dibuat upacara (ritual?) Tribute in Light yang khabarnya sebagai mengenang peristiwa 9/11 menara kembar World Trade Center (WTC). Dalam upacara itu, ada sengaja dibuat "tiang cahaya" tetapi tidaklah sama dengan tiang cahaya)
(* Tiang cahaya atau tiang nur yang dimaksudkan dalam artikel ini hendaklah dibaca dan difahami sebagai "tiang" cahaya dan bukannya betul-betul ada tiang. Kadang2 susah juga hendak memahamkan golongan yang "lurus lebih lagi daripada pembaris" (sebab sesekali terjumpa juga) kerana "berkaki ayam" (tidak berkasut dsb) difahamnya sebagai betul2 kaki macam kaki ayam, "duduk" (alamat rumah) difahamnya sebagai betul2 duduk (bersila, mencangkung dsb), "atas" difahamnya sebagai di atas, "kunci" dalam silat difahamnya sebagi betul2 kunci, "tutup" kipas difahamnya sebagai betul2 kena tutup kipas dengan sesuatu benda, dan sebagainya)
Abu Zulfiqar al-Amsyari
26/3/23
Blog Debunga Teratai Syurgawi
Ilmu Alam TG
No comments:
Post a Comment