KEWAJIBAN AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR
Firman Allah SWT : “Hendaklah kamu tergolong dalam umat yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang daripada melakukan yang salah. Mereka itulah orang yang berjaya.” (Ali Imran : 104)
Firman-Nya : “Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, mereka satu sama lain pimpin memimpin. Mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang mengerjakan yang salah, mereka tetap mengerjakan solat.” (At-Taubah : 71)
Allah Taala berfirman : “Orang-orang yang tidak beriman daripada Bani Israil telah kena kutukan lidah Daud dan Isa anak Maryam. Hal itu disebabkan mereka derhaka dan melanggar aturan. Antara mereka satu sama lain tidak melarang daripada perbuatan salah yang mereka kerjakan. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka lakukan.” (Al-Maidah : 78-79)
Yang disebutkan pada ayat ini memang sangat keras, kerana menerangkan punca mereka berhak menerima kutukan adalah kerana mereka meninggalkan nahi munkar.
Allah Taala berfirman : “Kamu umat yang terbaik, yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat yang mungkar.” (Ali Imran : 110)
Firman-Nya : “Dan setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada berbuat kesalahan dan Kami seksa orang-orang yang aniaya itu dengan seksaan yang mengerikan disebabkan mereka berlaku jahat.” (Al-A’raf : 165)
Imam Al-Ghazali menulis : “Mereka memperoleh faedah keselamatan (pelepasan) kerana nahi munkar yang mereka lakukan. Yang demikian itu menunjukkan juga kepada wajib.”
Sabda baginda SAW : “Allah Taala tidak menyeksa orang pilihan (orang khawwash) disebabkan dosa orang awam, kecuali kelihatan perbuatan munkar di hadapan mereka dan mereka mampu mencegahnya, tetapi tidak dicegahnya.” (Ahmad)
Huzaifah r.a ditanyakan tentang orang yang mati dalam kalangan yang hidup. Beliau menjawab : “Itulah orang yang tidak menentang perbuatan jahat dengan tangannya, dengan lisannya dan dengan hatinya.”
- Nota daripada live streaming di channel Tg ILMU2 IMAM AL-GHAZALI pada 24 Okt. Petikan, ringkasan dan rumusan daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin. Tajuk : Amar Ma’ruf, Nahi Munkar, oleh Paklong Abu Zulfiqar
No comments:
Post a Comment