Saturday, November 1, 2025

Alam Barzakh Yang Penuh Misteri

 

ALAM BARZAKH YANG PENUH MISTERI

 

Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya kubur itu permulaan tempat tinggal bagi akhirat. Jika lepas daripadanya yang empunyanya (maksudnya diri kita), maka (perhentian2) yang selepas daripada itu akan jadi lebih mudah baginya. Tetapi jika tidak lepas daripadanya, maka yang sesudahnya itu nanti lebih susah.” (Turmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

 

Alam kubur atau alam barzakh merupakan satu alam persinggahan, pembatas, dan pemisah yang terletak “di tengah2” antara dunia dan akhirat. Kita yang hidup ini tidak nampak akan para penghuni alam tersebut.

 

Sabda baginda SAW : “Aku telah melarang kamu daripada menziarahi kubur, tetapi sekarang berziarahlah. Sesungguhnya ziarah itu mengingatkan kamu akan akhirat.” (Ahmad, Abu Yu’la)

 

Pada asalnya ziarah kubur tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana ketika itu masyarakat masih kuat dipengaruhi oleh amalan-amalan zaman jahiliyyah. Apabila masyarakat sudah semakin berubah, maka Rasulullah SAW pun membenarkan mereka menziarahi kubur untuk mengambil manfaat (pengajaran) daripadanya.

 

Sabda baginda SAW : “Demi Tuhan yang diriku dalam tangan-Nya! Sesungguhnya mereka (orang-orang yang sudah mati) itu mendengar kata-kata kamu, cuma mereka tidak berupaya menjawab.” (Muslim)

 

Sabda baginda SAW : “Apabila mati salah seorang daripada kamu, nescaya didatangkan (diperlihatkan) kepadanya tempat tinggalnya (nanti iaitu jannah atau nar) pada waktu pagi dan petang. Jika dia daripada isi jannah, maka dari jannahlah (diperlihatkan kepadanya). Dan jika ia daripada isi naar, maka dari naarlah (diperlihatkan kepadanya) . Dan dikatakan (kepadanya) : “Inilah (kuburan ini) tempat tinggal (sementara untuk) kamu, sehinggalah kamu dibangkitkan pada Hari Qiamat.” (Bukhari, Muslim)

 

Kita akan dipertontonkan lebih dahulu. Ada yang diseronokkan dan ada yang ditakutkan. Salah satu daripada azab kubur adalah seksaan jiwa yang didahulukan.

 

-          Nota daripada live streaming di channel Tg ILMU2 IMAM AL-GHAZALI pada 20 Okt. Petikan, ringkasan dan rumusan daripada ktab induk Ihya’ ‘Ulumuddin. Tajuk : Ilmu dan Rahsia Kematian oleh Paklong Abu Zulfiqar

 

No comments: