Saturday, November 1, 2025

Engkau Membenci Kematian?

 

ENGKAU MEMBENCI KEMATIAN?

 

Janganlah kita membenci kematian kerana kematian itulah jalan untuk bertemu dengan Kekasih kita iaitu Allah SWT. Cuma buatlah persediaan untuk menghadapi kematian dan menghadapi alam selepas kematian itu. Ada banyak perhentian selepas kematian itu seperti alam barzakh, padang mahsyar, timbangan, lintasan dan sebagainya.

 

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, nescaya Allah pun tidak suka bertemu dengannya.” (Bukhari, Muslim)

 

Satu-satunya jalan untuk bertemu dengan Allah di akhirat nanti adalah melalui kematian. Maka kita jangan membenci kematian.

 

Sabda baginda SAW: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang memecahkan kelazatan (keduniaan).” (Turmizi, An-Nasa’i, Ibnu Majah)

 

Maksudnya, apabila kita banyak ingat akan kematian, maka kecintaan kita kepada keduniaan ini pun semakin berkurangan. Sebaliknya, ingatan kita kepada Allah pula semakin kuat. Tapi kebanyan orang tidak mahu ingat akan mati dan tak suka bercakap tentang kematian.

 

Seorang Ansar bertanya : “Siapakah manusia yang paling pintar dan paling mulia wahai Rasulullah?”

Nabi SAW menjawab : “(Yang paling pintar dan paling mulis itu ialah) Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang lebih kuat membuat persediaan untuk itu. Mereka itulah orang-orang yang pintar, yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat.” (Ibnu Majah, Ibnu Abi Dunya, dengan sanad baik)

 

Ka’ab al-Ahbar berkata : “Sesiapa yang mengenal mati, nescaya menjadi mudah baginya musibah dunia dan kesusahannya.”

 

Safiyyah r.ha berkata : “Ada seorang wanita mengadu kepada Aisyah ra tentang kekesatan hatinya. Maka Aisyah ra menjawab : “Perbanyakkanlah mengingati mati, yang akan menghaluskan (melembutkan) hati engkau.”

 

-          Nota daripada live streaming di channel Tg ILMU2 IMAM AL-GHAZALI pada 20 Okt. Petikan, ringkasan dan rumusan daripada ktab induk Ihya’ ‘Ulumuddin. Tajuk : Ilmu dan Rahsia Kematian oleh Paklong Abu Zulfiqar

No comments: