Tuesday, November 25, 2025

Apa Itu Qurrota Akyun?

 

“Dan mereka berdoa : Wahai Rabb kami, kurniakanlah kepada kami PASANGAN dan ZURIAT (keturunan) yang menjadi cahaya mata, dan jadikanlah kami PEMIMPIN (ikutan) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan : 74)

 

Ada tiga perkara yang ditekankan dalam ayat ini iaitu PASANGAN, ZURIAT (KETURUNAN), dan KEPEMIMPINAN. Inilah antara perkara yang jadi faktor penting dalam membentuk sebuah rumahtangga dan keluarga : tasawuf dan perjuangan.

 

Apakah erti “qurrata a’yun” dalam ayat ini?

Ertinya cahaya mata, penyejuk mata, penyejuk hati, kebahagiaan hati – iaitu sesuatu yang membuatkan qalbu kita jadi sangat senang, sangat suka, sangat bahagia, dan berasa sukacita yang mendalam. 

 

Allah ‘Azza wa Jalla merakamkan kata2 isteri Fir’aun ketika mereka menemui bayi yang dihanyutkan di dalam sebuah bekas (iaitu Nabi Musa as yang masih bayi) :

“Dan berkatalah isteri Firaun: (Semoga budak ini menjadi) penyejuk mata (qurratu ‘aini) untuk aku dan untuk kamu, janganlah engkau (Fir’aun) membunuhnya, mudah-mudahan ia ada manfaat kepada kita, atau kita jadikan dia anak (anak angkat).” (Al-Qosos : 9)

 

“Dan sesungguhnya telah Kami telah mengutuskan sebelum engkau rasul2, dan Kami memberikan kepada mereka isteri2 dan anak2.” (Ar-Ra’d : 38)

 

Sebahagian ulama dan para pengkaji berpandangan bahawa semua rasul sudah berkahwin dan mempunyai anak, termasuklah Nabi Yahya dan Nabi ‘Isa. Hal ini tidaklah kita bicarakan di sini kerana ia bukanlah maqsud,matlamat atau agenda kuliah kita kali ini. Hal itu bicaranya dalam ilmu alam Imam al-Ghazali.

 

Rasulullah saw bersabda : “Barang siapa yang benci akan sunnahku, maka tidaklah ia daripada golonganku. Dan sesungguhnya sebahagian daripada sunnahku itu ialah nikah (berkahwin). Maka barang siapa mencintai aku, hendaklah ia menjalankan menurut sunnahku.” (Bukhari, Muslim)

 

Tidak berkahwin (tidak mendirikan rumahtangga) bukanlah kesalahan. Tidak mahu berkahwin (tidak mahu mendirikan rumahtangga) atas sebab2 tertentu pun bukan kesalahan. Yang jadi salah jika sampai ke tahap membenci, anti perkahwinan, atau memusuhi perkahwinan.

 

…catatan kuliah khas “Merancang Rumahtangga Tasawuf & Keluarga Perjuangan Agama”, Paklong Abu Zulfiqar, 22/11/25

 

No comments: