Saturday, November 1, 2025

Keutamaan Lapar, Kecelaan Kenyang

 

KEUTAMAAN LAPAR DAN KECELAAN KENYANG

 

Abu Hurairah ra berkata : “Tiada dikenyangkan oleh Nabi SAW akan keluarganya tiga hari berturut-turut oleh gandum (makanan asasi mereka), sehinggalah baginda wafat.” (Muslim)

 

Pernah Rasulullah saw buat prepping (persediaan/simpanan) makanan bagi keluarganya untuk tempoh satu tahun, namun mereka tetap menjaga supaya tidak setiap hari kenyang.

 

Saiyidina Umar ra berkata : “Jagalah daripada perut (yang asyik kenyang), kerana ia akan berat dalam hidup dan busuk pada mati.”

 

Perut yang penuh ini biasanya akan membuatkan badan berat hendak bergerak, berat hendak bekerja, memberatkan akal, serta malas untuk berfikir panjang2.

 

Dikhabarkan bahawa Luqman al-Hakim ada berkata kepada anaknya : “Wahai anakku! Apabila perut telah penuh, nescaya tidurlah akal fikiran, bisulah ilmu hikmah dan duduklah (malaslah) anggota badan daripada melakukan amal ibadah.”

 

Sahl at-Tustari berkata (bahawa menurut pandangannya, umumnya) : “Wali itu tidak menjadi wali melainkan dengan kempisnya perut (membiasakan tidak makan banyak), tidak tidur malam (membiasakan berjaga untuk melakukan amal ibadah), berdiam (membiasakan tidak banyak bercakap melainkan dalam hal-hal yang perlu), dan menyendiri (ada memperuntukkan masa untuk beruzlah dan berkhilwah melakukan amal ibadah).”

 

Abu Talib al-Makki berkata : “Perut itu seperti rebab (sejenis alat muzik) yang kayunya berlubang dan bertali. Bunyinya sedap kerana ringannya, nipisnya, dan lubangnya tidak penuh. Begitu jugalah dengan rongga perut. Apabila ia kosong, adalah lebih sedap untuk tilawah, lebih lama untuk berdiri solat dan lebih menyedikitkan tidur.”

 

Abu Bakar bin Abdullah Al-Mazani berkata : “Ada 3 jenis manusia yang dikasihi oleh Allah Taala iaitu orang yang sedikit tidur, sedikit makan dan sedikit istirahat.”

 

-          Nota daripada live streaming di channel Tg ILMU2 IMAM AL-GHAZALI pada 22 Okt. Petikan, ringkasan dan rumusan daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin. Tajuk : Nafsu Perut & Syahwat oleh Paklong Abu Zulfiqar

 

No comments: