Sunday, December 14, 2025

Memahami Tawakal Burung (bah. 2)

 

TAWAKAL BURUNG (bahagian 2) - PERMASALAHAN

 

Ada sebahagian orang yang salah faham dengan dialog kedua2 orang tokoh ini (Imam Malik dan anak muridnya Imam asy-Syafi’i), lalu mereka mengambil tindakan yang salah. Yang ajaran2 bermasalah lagilah suka akan hal ini. Mereka meyakini bahawa jika kita tidak berusaha pun, cukup sekadar bertawakkal - lalu keperluan2 dan keinginan2 kita akan terpenuhi, yakni mendapat rezeki tanpa sebab. Maka mereka jadi pemalas, tidak mahu berusaha, tidak minat berusaha, lemah keinginan dalam berusaha, dan ada yang memandang rendah orang2 yang berusaha.

 

Mereka tidak berasa rugi bahkan berasa bermaqam lebih tinggi jika mereka tidak pergi berguru, tidak pergi belajar, tidak bekerja, tidak berkerjaya, tidak meneliti kitab2, tidak bertindak menyelesaikan masalah2 yang datang melainkan hanya banyak berdiam, berserah dan bertawakal sahaja. Ajaran2 yang bermasalah suka gunakan kisah Imam Malik dan Imam asy-Syafi’i ini sebagai hujah sandaran mereka.

 

Apabila dikatakan kepada orang2 yang enggan bekerja atau lemah bekerja : “Pergilah cari kerja, cari rezeki. Takkan nak duduk je begini. Dah lama dah dok macam ni je.”

Jawab mereka : “Alahh… macam kisah Imam Malik dengan Imam asy-Syafi’i le. Kalau Allah nak bagi rezeki, kita tak pergi bekerja pun boleh dapat. Tawakal je.”

 

Apabila dikatakan kepada orang2 yang malas atau lemah usaha dalam mencari ilmu2 agama : “Korbanlah sikit masa untuk cari guru2 dan cari ilmu2 agama.”

Jawab mereka : “Macam kisah Imam Malik dengan Imam asy-Syafi’i le. Kalau Allah nak rezekikan ilmu, kita tak berguru dan tak belajar pun Dia boleh bagi. Tawakal je.”

 

Kisah dua imam inilah antara yang selalu jadi sandaran mereka untuk mengesahkan, meluluskan dan menormalisasikan keadaan diri mereka. Maka mereka pun jadi orang yang malas berusaha, malas belajar, malas berjuang, malas mujahadah, malas berdakwah, malas cari guru, malas ke pengajian2 agama, malas memikir panjang, malas berusaha untuk betulkan keadaan, malas nak selesaikan masalah2 yang datang, malas nak berubah, malas bertindak dsb.

 

-          Catatan daripada Pengajian Kitab Induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-298 (tahun ke-15) syarahan Keajaiban Qalbu oleh Paklong Abu Zulfiqar pada 6 Disember

 

No comments: