Tuesday, March 15, 2022

Cara Rawat Sakit Hati dengan Tasawuf

PERTANYAAN : Assalamualaikum..tuan, bagaimana nak rawat sakit hati dengan tasawuf?


JAWAPAN : Waalaikumussalam. Antara hal2 yang boleh diusahakan melalui jalan tasawuf :

1. Pada hakikatnya hanya Allah sahajalah yang ada kuasa. Hanya Dia yang ada kuasa untuk menghilangkan rasa sakit hati. Selain Dia, tidak ada sesiapa atau apa-apa lagi yang ada kuasa untuk hilangkan rasa sakit hati. Oleh itu, yang terawal dan yang paling selalu sepatutnya kita usahakan ialah berdoa minta Allah hilangkan sakit hati itu dan hilangkan punca2nya. Pada bila2 masa boleh sahaja terus memohon kepada-Nya, dalam sebarang bahasa. Cakap sahaja kepada Dia. Begitulah cara tasawuf. Mudah-mudahan Dia kabulkan permohonan kita.


2. Tasawuf menyarankan kita agar membanyakkan zikrullah. Zikrullah ertinya ingat akan Allah. Selalulah melafazkan sebarang lafaz zikir yang kita suka, banyakkan. Zikrullah tidak perlu sentiasa dilafazkan di mulut. Boleh sahaja melafazkannya di dalam hati.


Orang-orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra'd : 28)


Kita kena yakinkan diri bahawa dengan berzikrullah ini hati kita akan jadi tenteram atau lebih tenteram.


3. Sakit hati itu umumnya tidak datang dengan sendirinya. Tentu ada hal-hal yang membuatkan sakit itu wujud. Oleh itu, kita cubalah berusaha dan berikhtiar untuk selesaikan hal2 tersebut. Apabila punca2 itu semakin beres, maka semakin berkuranglah sakit hati. Apabila punca2 itu sudah beres, maka hilanglah sakit hati. Tasawuf menganjurkan agar kita meneliti punca, rancang jalan penyelesaian dan ambil tindakan yang sewajarnya.


4. Sekiranya orang atau hal yang membuatkan kita sakit hati itu sekarang sudah hilang mudaratnya daripada kita, atau jauh mudaratnya daripada kita, eloklah kita maafkan sahaja dan lupakan. Insya-Allah kita akan berasa sangat lapang dan semakin tenang. Tasawuf sangat menganjurkan kemaafan.


Sekiranya mudarat itu sedang berlaku atau kelihatan sangat berpotensi akan terus berlaku, kita cuba "jauhkan diri" yakni "jarakkan diri". Jika dekat, mudahlah kita untuk diketuknya selalu dan kita akan sakit hati. Akan bertambahlah murka Allah kepadanya dan bertambahlah dosanya. Tetapi jika berjarak, susahlah kita untuk diketuknya dan kita pun susahlah untuk selalu sakit hati. Akan kuranglah murka Allah kepadanya dan kuranglah dosanya. Selalu juga dengan berjauhan itu lebih baik berbanding berdekatan.


5. Tasawuf mengajarkan bahawa pada hakikatnya semua yang berlaku adalah ketentuan Allah, perancangan Allah dan aturan Allah. Rasa sakit hati akan berkurang atau akan menghilang apabila kita "memandang" bahawa semua yang berlaku adalah pekerjaan Allah, bukan pekerjaan makhluk. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang kadang2 Allah beritahu kepada kta sedikit daripadanya, dan banyak lagi yang tidak diberitahu-Nya kepada kita. Kita terus bersangka baik dengan Allah. Itu dari segi hakikatnya. Namun sebagai seorang ahli sunnah wal jamaah (ASWJ), dari segi syariatnya pula kita mestilah berusaha dan berikhtiar gigih untuk berfikir dan bertindak. Tidak boleh berserah kosong sahaja tanpa usaha dan ikhtiar yang gigih.


Begitulah serba-sedikit antara yang dapat saya kongsikan. Semoga bermanfaat buat puan.


15/3/22



No comments: