Saturday, March 26, 2022

Asal-usul Istilah Guru

 

PERKONGSIAN (oleh hamba Allah) : Guru. Guru berasal dari perkataan regu dan tiru. Regu dari bahasa Kelantan iaitu teman, kawan. Tiru iaitu mencontohi atau mengikuti dan salin. Jadi maksud guru ialah berkawan dan tiru, atau berteman dan tiru. Dekati dan ikut, yang didekati dan diikuti.


PERKONGSIAN (oleh sahaya) : Terima kasih atas perkongsiannya. Saya juga suka untuk berkongsi sedikit pengetahuan. Moga2 ada manfaatnya juga.


Yang pernah dimaklumkan oleh guru saya dahulu lebih kurang begini ceritanya. Perkataan GURU itu asalnya daripada bahasa wilayah India lama. Biasanya sering lebih dikaitkan dengan bahasa Sanskrit. Sebagaimana banyak perkataan daripada India lama tiba dan digunakan di Nusantara, istilah guru juga begitu.


Gu itu ertinya kegelapan. Yang terkandung dalam kata "kegelapan" itu termasuklah ketidaktahuan, kejahilan, kesesatan, ketidakbaikan, dan yang seumpama dengannya.


Ru itu pula bererti penghilang atau penyah (daripada perkataan nyah). Yang terkandung dalam kata "penghilang" dan "penyah" ini termasuklah sesuatu yang menyingkirkan, menghapuskan, menghalau, mengusir, menidakkan, dan yang seumpama dengannya. Ia juga bererti cahaya yang menghilangkan atau pencerah kepada kegelapan.


Kesimpulannya, istilah guru itu dari segi bahasa bolehlah dikatakan sebagai "penghilang kegelapan" sementara dari segi penggunaannya bermaksud seseorang yang dapat menyampaikan pendidikan tentang sesuatu kepada orang lain untuk menjadikan orang lain itu mendapat pengetahuan.


Pada zaman dulu-dulu, guru itu lebih tinggi kedudukannya berbanding tukang ajar (pengajar). Guru tugasnya mendidik manakala tukang ajar sekadar menyampaikan pelajaran. Tetapi hari ini istilah guru dan pengajar biasnaya digunakan sekali dalam masyarakat kita.


24/3/22

No comments: