Tuesday, March 15, 2022

Awal Penciptaan Versi Tarekat?

 

PERSOALAN : Seorang hamba Allah meminta pandangan sahaya dalam hal berikut. Bagus persoalan yang diajukannya kerana akan dapat memanfaatkan banyak orang lain nanti, insya-Allah. Terima kasih atas soalannya. Tulisnya :


Awal penciptaan versi tarekat.

Awalnya ada hanya dzat Allah.

Kemudian dari dzat Allah keluarnya nur iaitu dipanggil nur muhammad.
Kemudian keluarnya nur api, angin, air dan tanah.

Kesemua itu berasal dari nur muhammad.

Dari nur itu terjadinya seluruh alam.


JAWAPAN :

1. Ditulis : "Awal penciptaan versi tarekat."


Yang ini merupakan penyataan orang yang bertanya. Dikatakannya hal-hal yang akan disebutkannya selepas ini nanti sebagai pemahaman versi tarekat. Di hujung nanti kita akan simpulkan sama ada benar ini pemahaman versi tarekat atau tidak.


2. Ditulis : "Awalnya ada hanya dzat Allah."


Bahagian ini tidak ada sebarang masalah. Benar.


3. Ditulis : "Kemudian dari dzat Allah keluarnya nur iaitu dipanggil nur muhammad."


Dalam pelajaran tasawuf lanjutan, awal-awal guru akan menerangkan dan membezakan maksud perkataan DARI dan maksud perkataan DARIPADA. Jika si guru tidak menjelaskannya, hal itu sangat berisiko.


Dalam hal ini, secara ringkasnya, perkataan DARI berkait dengan tempat atau masa.

Contoh : Ali datang DARI Kuala Lumpur.

Contoh : DARI pukul lima saya menanti.


Perkataan DARIPADA pula berkait dengan asal-usul.

Contoh : Surat ini DARIPADA Abu. Maksudnya isi kandungan surat itu berasal daripada hati Si Abu, Abu yang mengatakannya, Abu yang menulisnya, atau yang seumpama dengan itu.

Contoh : Tembikar ini DARIPADA tanah liat. Maksudnya bahan asal tembikar itu ialah tanah liat.


Ini pelajaran asas kepada lanjutannya. Dalam pelajaran lanjutan tasawuf, perkataan DARIPADA itu adalah lebih halus lagi kerana ia merupakan salah satu istilah BAHASA DALAM yang sangat penting bagi kaum sufi.


Berbalik kepada pernyataan yang berbunyi : "Kemudian dari dzat Allah keluarnya nur iaitu dipanggil nur muhammad."


Sebenarnya dari Zat Allah tidak keluar apa-apa atau sesuatu.

Dari Zat Allah tidak keluar nur yang dipanggil nur muhammad.


Yang benarnya : "Daripada" Zat Allah "keluar" "nur" iaitu yang dipanggil "nur" Muhammad.


Perhatikan baik-baik, yang dalam tanda "......." itu hendaklah difahami dengan BAHASA DALAM kaum sufi. Jika cuba difahami dengan laras bahasa sehari-hari, akan tersimpanglah pemahamannya daripada pemahaman yang sebenar. Dan begitulah yang biasa berlaku. Sekiranya tidak berjaya memaham hal ini dengan laras bahasa kaum sufi, sangat bagus jika dapat ditinggalkan sahaja persolan ini kerana di dalam Ihya' 'Ulumuddin dan beberapa kitabnya yang lain, Imam al-Ghazali sering mengulang2 bahawa untuk setiap orang itu ada ilmunya (yang direzekikan oleh Allah).


Sekiranya kita masih belum mencapai tahap pemahaman ini, sangat baguslah untuk kita agar tidak cuba2 untuk memahaminya. Jika direzekikan oleh Allah, pemahaman yang sebenar itu akan datang dengan sendirinya nanti hasil tarbiah guru2 yang mursyid, yang tentunya akan memakan masa.


"Daripada" Zat Allah "keluar" "nur" iaitu yang dipanggil "nur" Muhammad.

Sekiranya inilah maksud yang cuba dimaksudkan dalam soalan (walaupun tanpa diletak tanda "....."), maka betullah. (Pentingnya ilmu da kemahiran MEMBEZA)


Banyak masalah berkaitan timbul dalam masyarakat kita kerana ada dua golongan utama :

a) Golongan pertama - orang-orang yang tidak mencapai pemahaman tentangnya tetapi mengagak-agak lalu menyangkakan diri ADA TAHU. Mereka ini kemudiannya bercerita/menyampaikan kepada orang lain akan hal yang disangkanya ADA TAHU itu. Maka merebaklah pemahaman yang tidak benar tentangnya tetapi DALAM MODE MENYOKONG.

b) Golongan kedua - orang-orang yang tidak mencapai pemahaman tentangnya tetapi mahu menolak dan menentang. Mereka ini kemudiannya bercerita/menyampaikan pula kepada orang lain hal yang disangkanya ADA TAHU itu, padahal dia tidak ada tahu pun melainkan sekadar menyangka diri ada tahu. Maka merebaklah pemahaman yang tidak benar tentangnya tetapi DALAM MODE MENOLAK/MENENTANG.


Seterusnya kedua-dua golongan ini akan saling bertempur. Golongan ketiga iaitu yang benar2 ada pemahaman dan mencapai dalam hal "nur" Muhammad ini pun biasanya akan ditarik terlibat sama.


Antara jalan penyelesaiannya yang sangat ampuh (tetapi memang sangat kurang disambut ramai) ialah sekiranya kita tidak benar2 faham, sekadar agak2, sekadar ikut-ikut kata2 orang, tidak jelas, kurang jelas, ada ragu2, sekadar baca2, sekadar dengar2 dan tonton2 akan hal ini - eloklah jangan disentuh langsung tentangnya dalam kata-kata dan penulisan kita. Kita menyokong pun kita berdiam, kita menolak pun kita berdiam. Insya-Allah terpadamlah sebahagian besar fitnah.


Tetapi itulah...banyak orang berasa malu tidak bertempat sekiranya mereka dipandang sebagai TIDAK ADA TAHU dalam hal ini. Ini salah satu SIFAT MAZMUMAH yang berbahaya. Lalu mereka pun terdorong untuk mahu dipandang sebagai ADA TAHU. Untuk dipandang ada tahu, mereka kena berkata/menulis tentangnya sama ada dalam MODE MENERIMA ataupun MODE MENOLAK. Dari situlah fitnah menjadi lebih luas.


Sebab itulah guru-guru tasawuf sufi tarekat sangat mementingkan pentarbiyahan BAHASA DALAM kaum sufi ini. Ada yang bahagian ini sahaja dilatih bertahun-tahun.


(*Itu yang kita sangat berasa pelik, bagaimanalah ada para penentang hal ini yang tidak pernah berada dalam tarbiyah sufi SEHINGGA DISAHKAN oleh mursyidnya sebagai sudah lulus, walaupun tidak sampai ke tahap baik dan tidak cemerlang, tiba2 seolah2 banyak tahu dan ada autoriti untuk mempertikai itu dan ini dalam hal ini. Mereka menentang sesuatu yang mereka tidak ada pengesahan ilmu tahap lulus pun dalam hal tersebut)


4. Ditulis : Kemudian keluarnya nur api, angin, air dan tanah.


Apabila pernyataan yang nombor 3 sudah tidak kena, maka bahagian ini juga tidak kena.


Yang benarnya : "Daripada: "nur" Muhammad "keluar" "nur" api, angin, air dan tanah.

Sekiranya inilah yang dimaksudkan dalam soalan, maka benarlah.


5. Ditulis : "Kesemua itu (api, angin, air dan tanah) berasal dari nur muhammad."


Yang benarnya : Kesemua itu berasal "daripada" "nur" Muhammad.

Sekiranya inilah yang dimaksudkan dalam soalan, maka benarlah.


6. Ditulis : "Dari nur itu terjadinya seluruh alam."


Yang benarnya : "Daripada" "nur" itu "terjadinya" dan terjadinya seluruh alam. Kedua-dua jenis TERJADI boleh digunakan bersesuaian dengan keadaan-keadaannya.

Sekiranya ini yang dimakudkan dalam soalan, maka benarlah.



KESIMPULANNYA


Yang tertulis itu bukanlah pemahaman versi tarekat, bukan juga pemahaman mana-mana versi yang benar. Tetapi jika bersamaan dengan dituliskan jawapan, maka benarlah itu versi tarekat, termasuk versi2 lain yang benar.


15/3/22



No comments: