Sunday, September 29, 2024

Pentingnya Mursyid Memaklumi Natijah Murid

 

Persoalan : “Aku beramal. Aku terjun dalam jalan ini. Tapi kenapa aku belum rasa apa2?”

Pilihan 1 – Mungkin kerana aku belum ikhlas, mungkin kerana dosa bertimbun, mungkin... mungkin... mungkin hal2 lain.

Pilihan 2 – Mungkin juga kerana Allah “pegang” dulu... nak tengok sejauh mana aku boleh pergi. Adakah aku akan berhenti beramal atau teruskan beramal.


Jika ini yang tersurat, bolehkah kita pilih yang no. 2... yakni terus dan terus beramal tanpa fikirkan akan hal hasilnya?


Pencerahannya :

Jika mengikut Tarekat Ghazaliyah, tidak wujud pemisahan di situ. Tidak ada pilihan 1 atau 2 kerana kedua-duanya tidak terpisah melainkan bersekali. Syariat dan hakikat segandingan.


Wilayah kerja Allah, kita tak akan campur tangan langsung. Kita tak akan bersibuk2 dengan hal itu. Cukup kita meyakini bahawa pada hakikatnya Allah boleh beri natijah baik atau buruk kepada kita pada bila2 masa, ikut kehendak Dia. Setelah kita yakin, tutup buku terus. Kunci terus. Jangan difikir2 lagi. Itu wilayah kerja Dia, kita tak akan dipersoal, tak akan dihisab dan tak akan diminta pertanggungjawaban. Kita yakin dan terima sahaja.


Yang mesti kita fikir dan bersibuk2 adalah yang berkaitan wilayah kerja kita. Bahagian ini kita akan dipersoal, dihisab dan diminta pertanggungjawaban.

- Apa yang kamu sudah buat?

- Mengapa langkah2 itu yang kamu ambil?

- Mengapa kamu tidak ambil langkah2 yang lain?

- Seberapa kuat kamu berusaha untuk mencapai?

Dan pelbagai lagi hisab yang sangat terperinci dan termilimiter.


Huraian lanjutnya :

i) Zaman sahaya mula2 jadi murid dulu memang banyak senang hati sebenarnya. Sebab tak ada nak fikir2 natijah.


ii) Tapi setelah berguru beberapa lama, sampailah masa untuk fikirkan natijah. Itu pun masih ok lagi.


iii) Sampai masa dah jadi guru dan punya anak2 murid, nak kena pantau natijah semua murid pula. Nak kena mahir tentang natijah sendiri dan nak kena mahir tentang natijah murid2. Memang berat bebanannya. Kalau tak mahir menilai natijah murid2, macam mana nak lorongkan mereka kepada amalan2 tertentu dan “tempat2” tertentu? Kalau menilai natijah diri sendiri pun tak mahir, macam mana nak menilai natijah orang lain.


Contoh / tamsilan :

Mua’llim/ mursyid/ syeikh nak kena fikir... murid A dah sampai tahap mana? Boleh angkat 200 lbs (pound) bench press? Maka murid itu mungkin boleh capai 230 lbs kalau diasak. Barulah jurulatih dapat lorongkan diri murid dan latihan seterusnya untuk murid itu ke mana. Umur dia sekarang berapa? Masih muda? Jangkaan pada usia kemuncak nanti boleh angkat maksima berapa? Kategori berat badan mana yang sesuai dia masuk untuk dapat hasil maksima? Mental dia macam mana? Semua ini diambil kira. Jurulatih tak boleh suruh si murid teruskan sahaja latihan tanpa membuat perancangan, penilaian, post mortem, refleksi dan sebagainya.


Murid B pula sekarang dah sampai mana? Kemampuan angkatnya antara 250 ke 280 lbs. Kalau diasak mungkin boleh capai 300 lbs. Tapi usia sudah lanjut. Maka berdasarkan natijah yang ada, barulah jurulatih dapat halakan atau lorongkan si murid ke tempat yang paling sesuai baginya.


Begitulah untuk murid C sampai Z. Mursyid kena tafakkur berasing2 masing2 sebab setiap individu tak sama.


Jika tak mahir nilai natijah murid2, akan ada murid yang maksima mampu angkat 300 lbs tapi disuruh angkat 350 lbs. Rosaklah murid. Zalimlah mursyid. Ini antara selok-belok Tarekat Ghazaliyah juga.

Akan ada pula murid yang sepatutnya berpotensi angkat 400 lbs tapi disuruh berlatih hanya untuk capai 280 lbs sahaja. Rugilah bakat murid. Zalimlah mursyid.


Macam itulah lebih kurang tamsilannya untuk Tarekat Ghazaliyah ini. Muallim/ mursyid/ syaikh memang kena usaha untuk mahir dalam hal menilai natijah tersebut, setakat mana yang diizinkan oleh Allah.


Samalah tamsilannya macam peperangan pada zaman dahulu kala. Contohnya macam penaklukan Constantinople. Pada hari ke-20 peperangan, masih belum selesai juga. Jika panglima perang tidak mahu ambil kesah tentang natijah, lalu dia terus sahaja menyuruh para tentera berperang pada hari2 seterusnya kerana yakin bahawa jika Allah hendak berikan kemenangan, Dia akan beri pada bila2 masa.... umumnya tidak salah dan boleh.


Tapi jika menurut kaedah Tarekat Ghazaliyah, selain daripada meyakini bahawa Allah boleh beri kemenangan pada bila2 masa yang Dia mahu, panglima tentera juga akan gigih berusaha dan berikhtiar membuat penilaian natijah. Contohnya :

- Kita sedang menang atau sedang kalah?

- Apa tanda2 kita sedang mendahului (menang) atau sedang didahului (kalah)?

-Apa faktor2 yang membuatkan kita masih belum menang? Apa halangan2 yang ada?

- Apa langkah2 yang perlu diambil untuk kita menang?

- Mengapa lambat menang? Apa yang kita perlu buat untuk segera menang?

- Berapa besar kemenangan yang kita mahu capai?

Dan sebagainya.


1.9.24


No comments: