Hati burung seumpama satu peribahasa. Bagaimanakah yang dikatakan hati burung? Apa yang ada pada hati burung?
Hati burung itu mempunyai usaha yang sangat tinggi dan tawakal yang sangat tinggi. Ringkasnya hal ini disebut sebagai usaha dan tawakal yang sangat tinggi.
Burung keluar pada waktu awal pagi dan pulang pada penghujung petang. Lihatlah betapa keras usaha dan ikhtiarnya. Katakanlah ia keluar pada pukul 7 pagi dan hanya akan pulang pada pukul 7 malam. Ertinya burung berusaha bersungguh-sungguh selama 12 jam.
Umumnya burung tidak akan pulang ke sarang melainkan ketika ia membina sarang, ketika ia mengeram telur, atau ketika ia punya anak-anak di sarang. Sekiranya tidak ada hal2 tersebut, ia akan berusaha berterusan sepanjang siang. Itu dari sudut usaha yang sangat tinggi.
Dari sudut tawakal yang sangat tinggi pula, burung keluar pada waktu pagi dalam keadaan perut kosong dan biasanya pulang petang dalam keadaan perut yang penuh. Esok ia akan keluar sepanjang siang lagi untuk mencari rezeki. Begitulah berterusan sepanjang hayatnya.
Sabda Nabi saw : “Sekiranya kalian benar2 bertawakal kepada Allah, tentu kalian akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki. Ia pergi pada pagi (meninggalkan sarangnya dan rehatnya lalu berusaha gigih sepanjang hari) dalam keadaan lapar, dan pulang pada petang hari dalam keadaan kenyang.” (Turmizi)
Al-Munawi ketika menghuraikan tentang burung mengatakan : “Hal itu menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha (atau sebab). Tetapi sebaiknya dengan melakukan pelbagai usaha (atau pelbagai sebab) yang akan membawa hasil yang diinginkan.”
Dalam hal berusaha dan bertawakal ini, burung menyeimbangkan kedua-duanya. Apabila ia mempunyai anak-anak, ia bertawakal meninggalkan anak-anaknya sebentar di sarang lalu bertawakal pergi mencari makanan. Padahal anak2 di sarang itu tiada penjaga dan tiada pembela. Sangat tinggi tawakalnya.
Namun dari segi usaha gigihnya pula, ia keluar mencari makanan untuk dirinya dan untuk anak-anaknya juga. Ia tidak pula membiarkan sahaja anak-anaknya di sarang lalu bertawakal kosong sahaja dengan harapan agar makanan anak2nya akan didatangkan sendiri oleh Tuhan. Sebaliknya ia berusaha gigih memburu ulat seekor demi seekor. Kemudian berulang-alik terbang ke sarang menyuapkan ulat ke mulut anak-anaknya seekor demi seekor. Boleh jadi untuk seekor anak, ia perlu berulang beberapa kali untuk mengenyangkannya. Sangat tinggi usaha dan ikhtiarnya.
Begitulah hati burung.
Sabda Nabi saw : “Akan masuk syurga satu golongan yang hati mereka seperti hati burung.” (Muslim)
Usaha yang sangat tinggi bersama2 tawakal yang sangat tinggi.
1/9/24
No comments:
Post a Comment