Pertanyaan : “Bagaimanakah cara untuk mendapatkan seorang guru keruhanian yang khusus?”
Jawapannya : (Pendek sahaja soalan hamba Allah ini. Maka sahaya menjawab sekadar yang sahaya faham akan maksud soalan itu. Wallahua’lam)
Antara cara2nya :
1. Mohon kepada Allah.
2. Senaraikan ciri2 guru keruhanian yang tuan harap2=kan.
3. Kemudian cari, perhati, pertimbang dan sebagainya.
4. Buat keputusan.
PENGALAMAN SENDIRI SEKADAR SEBAGAI SATU CONTOH
Berikut merupakan pengalaman sahaya sendiri. Hal ini bukan untuk tuan ikuti tetapi sekadar sebagai satu contoh yang mungkin akan dapat lebih membuka minda tuan dalam menyenaraikan ciri2 guru yang tuan hajati. Biasanya lain orang maka lainlah kehendak hatinya, mengikut kesesuaian diri masing2. Maka kemudian nanti tuan senaraikanlah ciri2 yang tuan hajati itu.
Cara sahaya mencari guru keruhanian (aqidah, tauhid, tasawuf) yang khusus dulu memang ketat. Tapi apabila sudah belajar, rupa2nya jadi lebih ketat. Ketika itu sahaya yang memang masih sangat jahil ada menyenaraikan ciri2 guru yang sahaya harap2kan. Hal itu adalah untuk kegunaan diri sendiri sahaja, bukan untuk orang2 lain.
Inilah ciri2 yang sahaya idam-idamkan pada zaman itu (lebih 30 tahun yang lalu). Seboleh2nya (bukan semestinya) sahaya harapkan agar :
1. Sanadnya mestilah bersambungan penuh sampai kepada Rasulullah saw, tiada terputus walau satu.
2. Guru itu mestilah menekankan 3 fardhu agama (al-islam, al-iman, al-ihsan). Bukan pilih2.
3. Guru itu mestilah mahir akan ma’rifatullah (awwaludin / awwal ad-diin).
4. Guru itu mestilah bertariqah dan dia sendiri guru tariqah.
5. Umumnya pada setiap hari sahaya mahukan tarbiah walaupun sekadar satu ayat. Kalau boleh, tak mahulah yang sekadar mingguan, atau bulanan, atau lainnya.
6. Guru itu mestilah mampu mengajarkan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin dengan baik. Hal ini kerana kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini memang saya sangat minat sejak usia 15 tahun lagi tetapi tidak pernah jumpa orang yang mensyarahkannya pada zaman itu.
7. Guru itu memang banyak terpamer sunnah2 Rasulullah pada dirinya dan kehidupan hariannya (kerana kebetulan pada usia 19 hingga 21 tahun dulu sahaya aktif dengan perkumpulan Tabligh - yang banyak mentarbiahkan sebahagian besar daripada sunnah2 Rasulullah dalam kehidupan harian).
8. Guru itu mestilah jenis yang berani memperjuangkan kebenaran dan menolak ketidakadilan.
9. Orangnya lemah-lembut dan selalu tersenyum.
10. Guru itu anak muridnya ramai, agar sahaya dapat berusaha secara berjemaah.
Pada usia 24 tahun, barulah saya ditemukan oleh Allah dengan seorang guru yang umumnya memiliki ciri2 di atas. Mursyid saya itu bertarekat Ghazaliyah. Hampir setiap hari sahaya dapat bertemu muka dengannya dan mendapat kata2nya (bahan tarbiah) walaupun sekejap. Beliau juga mengajarkan kitab Ihya’ dan beliau memang mahir tentang isi kandungannya. Cuma yang nombor 9 itu sahaya tidak dapat kerana guru saya ini walaupun seorang yang sangat baik dan suka berjenaka, tapi wajahnya selalu serius, suaranya lantang tinggi dan beliau ada cengei (ada tegasnya, ada garangnya, tapi bukan kasar dan bukan pemarah). Yang nombor 10 pun tidak dapat kerana anak muridnya memang tidak ramai.
APABILA BERGURU
Apabila sudah berguru dengan beliau, makin lama makin banyaklah yang sahaya dapat tahu. Dan dalam hal mencari guru keruhanian pun, tentulah semakin matang pemikiran kita dan bertambahlah ciri2nya yang sebelum itu sahaya tidak pernah terfikir pun kerana memang tidak tahu.
Oleh itu, untuk diri sahaya sendiri (bukan untuk orang2 lain), sekiranyalah selepas itu sahaya kena mencari guru keruhanian, maka ada ciri2 tambahannya yang sahaya harap2kan (walaupun tidak semestinya akan dapat) iaitu :
1. Guru itu mestilah menekankan 4 fardhu agama (al-iman, al-islam, al-ihsan, al-sa’ah). Bukan tiga tungku ad-diin sahaja.
2. Guru itu mestilah mahir akan yang selepas daripada ma’rifah (selepas awwaluddin/ awwal ad-diin) atau sekurang2nya arif tentang jalan ke sana agar boleh melorongkan murid2nya, iaitu nisf ad-diin (pertengahan agama), akhiruddin (akhir agama), dan kamal ad-diin (kesempurnaan agama).
CARA MENDAPAT GURU KERUHANIAN YANG KHUSUS
Sebenarnya guru saya itu yang “meminang” sahaya dengan cara halus, lalu kemudiannya saya memohon untuk berguru kepadanya. Kisah ini ada sahaya muatkan pada bahagian lampiran dalam buku Terbit Yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyah jilid ke-3.
KESIMPULAN
Begitulah antara pengalaman sahaya, yang mungkin dapat menjadi asas kepada tuan dalam mencari seorang guru keruhanian yang khusus dalam banyak2 guru keruhanian tuan atau yang tuan tahu. Sentiasalah memohon kepada Allah dan langkah awalnya tuan kenalah buat senarai ciri2 guru keruhanian yang tuan harap2kan. Mungkin tidak akan dapat kesemua ciri itu, tetapi insya-Allah akan berpeluang dapat banyak daripada ciri2 itu.
14/9/24
(*Tambahan – Sahaya faham bagaimana kuatnya keinginan untuk mendapatkan tarbiah, nasihat, pedoman, kata2 guru dan sebagainya pada setiap hari kerana itulah yang sahaya cari dulu. Oleh sebab itulah sahaya seboleh2nya pada setiap hari akan menyampaikan sekurang2nya satu bahan tarbiah walaupun sekadar satu ayat kepada semua murid2 al-Ghazaliyah yang sahaya tidak dapat temui secara harian, terutamanya yang tinggal jauh. Sekurang2nya melalui FB. Jika sempat, melalui WhatsApp (umumnya hampir setiap hari sahaya akan hantar 6 penulisan dan 6 gambar/ poster). Seboleh2nya sahaya tidak mahu murid2 terputus tarbiah walau sehari. Tapi selalu juga tidak sempat sampaikan berselang 2-3 hari. Sahaya cubalah setakat yang termampu. Ringkas kata, tarbiah harian itu penting)
No comments:
Post a Comment