Friday, April 22, 2022

Nampak Macam Benar2 Hendak Membantu

 

Kadang2 seseorang itu memang boleh menolong kita untuk selesaikan masalah kita dengan segera, lancar lagi berkesan tetapi sengaja diwujudkannya jalan cerita penyelesaian yang panjang, tidak lancar lagi kurang berkesan kerana dia punya kepentingan2 tertentu yang mahu dicapainya.


Ibarat kita terjatuh ke dalam sebuah lubang besar yang dalam. Kita tidak dapat memanjat keluar. Tiba-tiba datang seorang manusia yang cuba menghulurkan tangannya untuk mencapai tangan kita tetapi ternyata masih jauh untuk dicapai. Lalu disuruhnya kita menunggu di situ sementara dia pergi mencari skop tanah.


Selepas satu jam, dia kembali. Diskopnyalah sebahagian tanah di tepi lubang itu lalu dicampakkannya ke dalam lubang. Tujuannya berbuat demikian agar kedudukannya semakin rendah dengan kita dan kedudukan kita pula semakin tinggi dengannya. Harapannya agar tangannya dapat mencapai tangan kita untuk menarik kita keluar dari dalam lubang.


Dia memang kelihatan sangat bersungguh-sungguh. Berjam-jam mencedok tanah. Tubuhnya bersimbah peluh. Sambil-sambil itu dia rajin memberi kata-kata semangat kepada kita. Semua itu dibuatnya agar nampak 'real' dan kita menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya. Dia sangat mahir berlakon dan mencorakkan suasana.


Padahal... di tepi lubang itu ada sebuah tangga miliknya yang elok sempurna. Jika dihulurkan tangga itu, dalam masa satu minit sahaja kita sudah boleh dikeluarkan dari lubang itu. Namun sengaja ditariknya masa agar lebih panjang menjadi 4 jam. Hal ini kerana ada sesuatu matlamat yang mahu dicapainya jika dibiarkannya kita terus berada di dalam lubang itu lebih lama. Kita yang gagal menyedari permainan ini akan menyangka bahawa manusia itulah penyelamat sebenar kita lagi sangat besar jasanya.


22/4/22

No comments: