Sunday, April 3, 2022

Kesalahan Besar dalam Mentafsir Mimpi

 

Sudah beberapa kali dalam belasan tahun ini kita menyentuh hal yang sama tetapi sesekali tetap kena update juga memandangkan masih banyak manusia yang terlibat dengannya. Sebelum2 ini kita tulis pendek2 sahaja. Kali ini panjang sikit.


Ringkas kata, tafsir atau takwil mimpi ini bolehlah diibaratkan memakai sepasang baju Melayu lengkap.


Umumnya kita pakai baju Melayu di Tanah Melayu, biasa-biasa sahaja pandangan orang terhadap kita.

Kita pakai baju Melayu di Tanah Arab, lain pandangan orang.

Jika pakai baju Melayu dalam dunia koboi di selatan Amerika Syarikat, lain pandangan orang.

Kita pakai baju Melayu di Siberia, Rusia yang penuh berais dengan suhu di bawah daripada 50 darjah Celsius, lain pula pandangan orang.

Kita pakai baju Melayu di pedalaman Papua, lain pula pandangan orang kerana mereka bercawat sahaja.

Padahal, kita pakai baju Melayu yang sama.


Walau di Tanah Melayu sekalipun, pandangan orang akan berbeza berdasarkan jenis baju Melayu, jenis kainnya, warnanya, waktunya, tempatnya, dan sebagainya.


Pakai baju Melayu lengkap dari tengkolok hingga ke capal ketika hendak tidur, pelik keadaannya.

Pakai baju Melayu lengkap ketika mandi di sungai, pelik juga.

Pakai baju Melayu warna raja-raja, lain pandangan orang.

Pakai baju Melayu lengkap bertengkolok oleh golongan hamba, lain pandangan orang.

Tiba-tiba pakai baju Melayu putih cantik setelah bertahun2 tak berbaju Melayu, lain pula pandangan orang.

Padahal, baju Melayu lengkap juga.


Begitulah dengar takwil, takbir dan tafsir mimpi. Pengertian di sebalik sesuatu mimpi itu dipengaruhi oleh orang yang bermimpi, lokasi orang yang bermimpi, keadaan orang itu, waktu mimpi itu, kepada siapa ditanyakan mimpi itu, musim mimpi itu berlaku, agama orang yang bermimpi, cara mimpi ditanyakan, dan macam-macam perkara lagi. Pentafsir mimpilah yang tahu hal-hal yang manakah yang terlibat dalam mimpi yang ditanyakan.


Sememangnya ilmu tafsir mimpi ini pelik lagi rumit. Maklum sahajalah, ilmu ini merupakan 1/46 daripada kenabian.


Seterusnya kita pergi kepada isu. Umumnya bagi masyarakat kita semua mimpi yang berkait dengan tercabut gigi, luruh gigi, pecah gigi atau seumpamanya akan terus dikaitkan dengan kematian salah seorang anggota keluarga. Keputusan sebegitu tidaklah benar. Berdasarkan pengalaman saya, banyak mimpi tentang gigi sebegitu tidak berkaitan dengan kematian pun.


Begitu juga dengan mimpi dipatuk ular. Zaman saya kecil-kecil dulu, biasanya orang akan terus kaitkan dengan lamaran. Setelah dewasa, banyak orang akan terus kaitkannya dengan sihir atau jin. Keputusan sebegitu pun tidaklah benar.


Samalah macam mimpi akan ahli keluarga yang sudah meninggal. Apabila tersebar sahaja sesuatu poster di media sosial mengatakan mimpi itu maksudnya begini begini, kebanyakan orang ramai akan terdorong untuk menghukumkan bahawa sesiapa sahaja yang mendapat mimpi itu, sebegitulah maksudnya, tiada selainnya.


Beberapa bulan kemudian, tersebar pula poster mengatakan mimpi akan orang yang sudah meninggal itu begitu begitu pula maksudnya (berbeza dengan yang mula-mula tadi), maka kebanyakan orang akan terdorong untuk menghukum semua mimpi berkaitan mempunyai maksud yang seperti itulah, tiada yang lain.


Maka seolah-olah tafsir sesuatu mimpi itu satu sahaja maksudnya, dan tafsirnya adalah sebagaiaman yang sedang viral itulah, dan bukannya sebagaimana yang ditafsirkan oleh pentafsir mimpi. Media dan viral sudah mula menggantikan tempat sebagai pentafsir mimpi dan 1/46 kenabian. Jika begini, mudah benarlah ilmu tafsir mimpi itu dan semua orang pun ahli dalam mentafsir mimpi.


Kadang2 sama ada teraniaya atau terpandang baik kawan-kawan kita apabila mereka mendapat mimpi melihat atau bertemu dengan saudara-mara mereka yang sudah meninggal dunia. Contoh :

1. Jika bermimpi akan ibu yang baru meninggal dalam 2-3 hari lepas, hal itu pasti ertinya si ibu ada banyak berhutang dengan orang. Tak pasal-pasal si anak dipandang serong.

2. Jika tak pernah mimpi akan bapa yang telah meninggal, hal itu pasti ertinya si bapa seorang yang soleh. Benarkah pasti begitu? Bagaimana kalau kita katakan antara maksudnya ialah keredhaan si bapa terhadapnya kurang?

3. Jika selalu bermimpi akan saudara yang sudah meninggal, itu pasti ertinya saudara kita itu sedang terseksa dalam kuburnya. Terfitnahlah si saudara.

Dan macam-macam lagilah.


TINDAKAN KITA


1. Jangan menghukumkan hanya ada satu pengertian sahaja untuk satu-satu mimpi.

2. Jangan mudah percaya akan tafsir-tafsir mimpi yang bertebaran dalam internet.

3. Mimpi anda dan mimpi orang lain tidak semestinya membawa pengertian yang sama sekalipun isi kandungan mimpinya sama.


Semoga bermanfaat.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

3/4/22 (1 Ramadhan 1443)


*Pelajaran asas ilmu tafsir mimpi ada saya diselitkan dalam pengajian2 kitab Ihya' 'Ulumuddin tetapi sukar untuk dicari kerana terdapat hampir 2000 video rakaman pengajian2 kitab Ihya' itu di internet. Yang lebih mudah untuk dicari dan diikuti ada dalam video2 pengajian zaman akhir (kerana baru lebih 50 kali kuliah).


No comments: