Saturday, April 16, 2022

Di Mana Kita dalam Jalan Pulang kepada Allah?

Pengalaman mengajar kita. Murid2 yang selalu hadir ke kelas, dalam kelas beri sepenuh perhatian terhadap pengajaran guru, beri komitmen yang baik dalam kelas, menyiapkan semua tugasan yang diberi, tugasan2nya disiapkan awal, tugasan2nya dibuat dengan baik, di luar kelas pun rajin merujuk guru jika berpeluang, rajin mengikuti group2 mata pelajaran guru di media2 sosial (sebagaimana zaman mutakhir ini), dan banyak mempraktikkan dan memanfaatkan pula pelajaran yang diperolehi itu di luar kelas (dalam kehidupan) - murid2 sebeginilah yang SELALUNYA mencapai kecemerlangan. Memang layaklah kecemerlangan itu dengan pengorbanan demi pengorbanan yang mereka lakukan tadi.


Murid2 jenis ini tidak perlu disuruh, digesa atau ditegur. Mereka cenderung untuk sendiri memajukan diri tanpa perlu disuruh, digesa atau ditegur. Cukup dengan diberi ilmu dan panduan sahaja oleh guru lalu terus mereka laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Begitulah biasanya.


Jika dalam peperiksaan mereka dapat markah 87% pun, mereka masih berasa diri mereka berada pada ilmu dan maqam yang rendah. Mereka masih TIDAK BERPUAS HATI. Oleh itu mereka akan berusaha lebih gigih lagi. Dari situlah mereka akan berjaya mencapai ilmu2 dan maqam2 yang bermartabat 90% ke atas.


Sementara murid2 yang selalu tidak hadir ke kelas, suka ponteng, dalam kelas kurang beri perhatian, dalam kelas kurang hendak beri komitmen, selalu tidak menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, jika siap pun selalu lewat, tugasan2nya dibuat ala kadar, habis kelas maka habislah hubungan dengan guru, group2 media sosial yang diwujudkan oleh pihak sekolah dan guru2 pun tidak atau kurang dimanfaatkannya, ilmu2 yang diterima hanya disimpan dalam kepala tapi kurang dipraktikkan - murid2 sebeginilah yang SELALUNYA jauh ketinggalan.


Murid2 jenis ini jika tidak disuruh, digesa atau ditegur, tak bergeraklah mereka. Mereka cenderung untuk perlu disuruh, digesa atau ditegur. Itu pun hanya sebahagiannya sahaja yang akan masuk ke fasa pelaksanaan manakala sebahagian lagi tidak/kurang ambil peduli pun, walaupun banyak ilmu dan panduan yang diberi oleh guru. Begitulah biasanya.


Jika dalam peperiksaan mereka dapat markah 40% sahaja pun, mereka sudah berasa diri mereka berada pada ilmu dan maqam yang bagus lagi tinggi. Mereka SANGAT BERPUAS HATI lagi bergembira dan berbangga sesama mereka. Padahal markah sebegitu baru tahap lulus cukup2 makan. Oleh itu mereka pun tidaklah terdorong untuk berusaha lebih gigih lagi. Hal itulah yang menyebabkan mereka akan terhenti atau berlegar2 pada ilmu2 dan maqam2 yang bermartabat sekitar 40% iut sahaja, walaupun belajar bertahun-tahun.


Dan antara dua golongan di atas, tentunya terdapat golongan yang berada pada maqam yang tengah-tengah antara kedua-duanya.


Begitulah LUMRAHNYA dalam perguruan ilmu2 dan amal2 akademik di sekolah-sekolah, dan begitu jugalah LUMRAHNYA dalam perguruan ilmu2 dan amal2 tasawuf, sufi dan tariqah.


Kejayaan2 di akhirat juga punya martabat2 atau level2 tersendiri. Pecahan besarnya bolehlah dikategorikan sebagaimana berikut :

1. Ada manusia dan jin yang sekadar bermatlamatkan untuk terlepas atau terselamat daripada naar. Inilah kepuasan mereka.

2. Ada manusia dan jin yang matlamatnya lebih daripada itu iaitu untuk mendapat atau dimasukkan ke dalam jannah. Inilah kepuasan tertinggi mereka.

3. Ada manusia dan jin yang matlamatnya lebih lagi daripada itu iaitu untuk mendapat jannah2 tertinggi. Inilah kepuasan tertinggi bagi mereka.

4. Ada manusia dan jin yang matlamatnya ialah yang lebih besar daripada jannah iaitu redha Allah. Inilah sebenar-benar kepuasan bagi mereka.

5. Dan ada pula manusia dan jin yang matlamatnya lebih tinggi daripada itu iaitu Tuan Punya Jannah dan Redha itu sendiri, iaitu kepuasan mutlak lagi muktamad bagi mereka.


Setiap manusia dan jin akan bermatlamatkan sesuatu yang aqal dan qalbu mereka capai dan faham bahawa itulah KENIKMATAN YANG TERTTINGGI. Begitulah lebih kurangnya yang selalu disebut2 oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.


Kenikmatan tertinggi bagi bayi ialah susu. Tidak tercapai oleh ilmu, aqal dan qalbunya untuk memahami nikmat barang-barang permainan. Padahal kanak-kanak akan memilih permainan pedang mainan dan anak patung berbanding susu kerana ilmu, aqal dan qalbunya sudah bermaqam lebih tinggi berbanding bayi. Jika boleh membantah, si bayi akan membantah apabila diberitahukan kepadanya bahawa pedang mainan dan anak patung adalah lebih nikmat berbanding susu.


Kenikmatan tertinggi bagi kanak-kanak ialah permainan. Tidak tercapai oleh aqal dan qalbunya untuk memahami betapa nikmatnya berumahtangga. Padahal orang dewasa akan memilih berumahtangga berbanding dapat pedang permainan atau anak patung. Kanak-kanak akan membantah jika dikatakan berkahwin itu adalah lebih nikmat berbanding bermain pedang mainan dan anak patung.

Begitulah seterusnya.


Ringkasnya, akan sentiasa ada orang yang lebih daripada kita dalam hal ehwal keRUHanian ini. Dan untuk mendapatkan walau sedikiiit tempat dalam kalangan yang tertinggi, matlamatkanlah KEADAAN QALBUnya golongan yang tertinggi iaitu R4S :

R - Rasulullah SAW

4 - Empat orang sahabat paling utama

S - Sahabat2 utama yang lain

Tiada yang seumpama mereka. Dalam "jalan pulang" dan seterusnya "hentian pulang", merekalah yang "terhampir" dengan Allah. Kita ini jauh ke belakang. Jadi, biarlah kita usahakan agar dapat "lebih hampir" dengan cara mencontohi orang2 yang "terhampir".


Imam al-Ghazali sendiri seperti itulah matlamatnya dan beliau mendorong manusia dan jin bermatlamatkan yang sama. Tetapi sekiranya kita direzekikan hanya pada yang lebih rendah daripada itu, tidak mengapa kerana kita sudah berusaha dan berikhtiar. Masuk pertandingan lari pecut 100 meter, matlamatkan tempat pertama. Insya-Allah dapatlah posisi2 yang baik walaupun sekalipun tidak berjaya mendapat tempat pertama. Elakkan dari awal lagi sudah bermatlamatkan tempat ke-7 atau ke-8 (terakhir). Biasanya akan dapat posisi2 yang sebegitu sahajalah.


Wilayah kerja Allah diharamkan untuk kita bersibuk2 tentangnya. Cukuplah dengan mengetahui dan berpegang teguh kepadanya (mengimaninya). Kita tidak akan dipersoal dan diminta pertanggungjawabannya di akhirat nanti. Wilayah usaha dan ikhtiar kitalah yang kita kena bersibuk2 kerana wilayah itulah yang pasti akan dipersoal dan diminta pertanggungjawabannya nanti. Bersedialah.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

16/4/22


Blog Debunga Teratai Syurgawi


No comments: