Sunday, January 30, 2022

Nur Allah dan Nur Muhammad

 

Soalan : Salam Ustaz. Nur Muhammad ini sebahagian daripada Nur Allah atau Nur Muhammad dicipta daripada Nur Allah. Adakah Nur ini dimaksudkan cahaya dan adakah cahaya ini dzat ataupun makhluk?


Jawapan ringkas : Waalaikumussalam. Saya cuba berikan penjelasannya. Belum tentu "sampai" atau tidak akan pemahamannya. Cuma, perlu beri perhatian terhadap penggunaan bahasa dalam (dalam koma "......... ") dan bezakan dengan bahasa luar. Sekiranya tidak berjaya memaham, maka bolehlah diabaikan sahaja jawapan ini kerana mungkin sekali lain yang saya maksudkan dan lain pula yang difaham oleh orang lain.


1. Jika hendak dikatakan "nur" Muhammad itu "sebahagian" daripada "nur" Allah....... tidak salah dikatakan begitu. Hal ini kerana sememangnya daripada "nur" Allah "jadi"nya "nur" Muhammad.


2. Jika mahu dikatakan "nur" Muhammad ini "dicipta" daripada "nur"Allah......... tidak salah juga untuk mengatakan begitu. Hal ini kerana sememangnya daripada "nur" Allah "jadi"nya "nur" Muhammad.


3. Jika hendak dikatakan "nur" (Allah dan Muhammad) itu cahaya..... yang ini tidak benar. Yang benarnya - "nur" itu "cahaya" dan nur itu cahaya.


4. Jika mahu dikatakan "nur" itu zat........ yang ini tidak benar. "Nur" Allah dan "nur" Muhammad bukan zat. Tetapi kalau nur, yang itu memang zat. Berbeza antara "cahaya" Muhammad dan cahaya Muhammad.


5. Jika mahu dikatakan "nur" yang itu makhluk - tidak benar, tetapi makhluk memang "tercipta" dan "berada" "di dalam"nya. Namun begitu, zat makhluk tidak dicipta "di dalam"nya dan zat makhluk tidak berada "di dalam"nya. Yang benarnya juga, nur itu makhluk dan berzat makhluk. Tetapi "nur" bukan makhluk dan tidak berzat makhluk.


Contoh yang mungkin membantu : Orang yang bijaksana itu kita sebut sebagai otaknya "bercahaya". Ini yang betul. Tetapi akan salah jika kita sebut sebagai otaknya bercahaya. "Cahaya" dan cahaya itu berbeza. "Cahaya" itu tiada warna, tiada rupa, tiada bentuk, tiada boleh dilihat dengan mata kepala. Ia hanya boleh "dipandang", "dilihat" dan "disaksikan" dengan mata hati. Tetapi kalau cahaya - ia ada warna, ada rupa, boleh dilukis, boleh diambil gambar, boleh dirakam video dan boleh dilihat dengan mata kepala.


Adalah serba-sedikit persamaan (untuk "menghampirkan" kepada faham) dalam hal "nur" dan nur ini.


Semoga ada serba-sedikit manfaat.

 

Januari 2022



No comments: