Wednesday, January 26, 2022

Setelah Kena Maka Beringatlah

 

Sememangnya daya tahan perut kita berbeza antara satu sama lain walaupun pada asasnya lebih kurang sama. Oleh itu, makanan atau minuman yang ada risiko lebih daripada kebiasaan untuk mendatangkan kemudaratan sangat baiklah tidak diambil lagi.


Sahaya teringat satu majlis kenduri pada zaman kanak-kanak. Dulu2 jika ada kenduri-kendara biasanya ramailah kaum kerabat yang bermalam dua tiga hari di rumah yang terlibat. Zaman sekarang ni, habis kenduri pulanglah semua ke destinasi masing2. Tidak pun, ke homestaylah.


Ada satu kenduri perkahwinan. Sebahagian lauk-pauk memang masih berbaki sehinggalah keesokan harinya. Selepas Subuh, ada sebahagian kaum ibu dan yang peringkat kakak-kakak yang panaskan lauk dan makan. Yang peringkat anak2 dan remaja lelaki ni dengan hal masing2lah. Ada yang bangun terus pergi bermain (di atas balai kenduri, di halaman rumah, bawah rumah, ke bendang, mandi sungai/tali air, memancing dsb), ada yang lepas subuh sambung tidur, ada yang ronda naik motosikal dan lain-lain. Makan minum pun tak hirau dah. Seronok lagi berinteraksi dengan kampung dan isinya.


Menjelang tengah hari itu, salah seorang yang berpangkat ibu2 dah mula berulang ke tandas - cirit, dan meloya. Dua orang lagi tak ke tandas tapi meloya2. 4-5 orang lagi ok2 je. Jadi masing2 pun buat andaianlah bahawa mungkin salah satu daripada lauk-pauk itu sudah tidak elok. Begitulah kesepakatan awal.


Dekat2 waktu zohor, geng kanak2 dan remaja pun pulanglah cari nasi. Masalahnya lauk belum tersedia kerana baru dicari dan baru hendak dimasak. Kan sebelum itu kami mengharapkan lauk-pauk semalam je?


Oleh kerana anak2 kecil ni dah merayu2 tak tahan nak makan juga, maka sebahagian ibu pun hidangkanlah juga lauk-pauk semalam, walaupun sudah diingatkan oleh yang lain. Harapan mereka, lauk-pauk itu masih elok. Yang tidak sedap perut dan meloya itu hanya kebetulan lagi kes terpencil sahaja. Minta seorang lelaki 40/50-an berpangkat bapa2 bacakan doa penawar racun bagai. Lalu bertawakkallah mereka.


Akhirnya, walaupun bukan semua, tetapi pada hari itu, berbaris tak cukup tandas rumah, berbaris pula di tandas tepi macam kolam di tepi sawah (jenis berpijak atas dua batang kayu, keliling tutup dengan duan nipah dan guni beras, di bawah boleh nampak ikan2 bermain), siap tumpang tandas jiran lagi. Kanak2 yang muntah tu muntahlah, yang terkeluar di seluar pun ye lah. Tapi, tidaklah sampai dibawa ke hospital. Lagi pun orang2 kampung zaman itu ada bahan2 daripada alam semulajadi ni (sahaya tak tahulah apa bahannya termasuklah kikisan kulit pokok2 tertentu katanya). Itulah ceritanya.


Berbalik kepada ibu2 tadi, mana2 ibu yang merasai mudaratnya dari awal, memang mereka tak akan beri anak-anak mereka makan. Sanggup tunggu lagi lauk-pauk dimasak kemudian. Tak kiralah anak merengek ke, hentak kaki ke, menangis meraung ke. Tapi ibu2 yang tak terkena sebarang mudarat, dengan senang hati hidangkan anak-anak mereka makan. Padahal kemungkinan lauk-pauk itu sudah tidak elok memang ada dan kemungkinannya lebih daripada kebiasaan, walaupun tidak perlu menunggu ujian makmal dilakukan. Anak2 mereka itulah yang majoritinya meloya, muntah2 dan buang2 air.


Mana pergi geng2 lelaki dewasa? Awal2 pagi mereka dah lepak2 bersarapan di warung kampung. Borak-borak. Makan tengah hari lewat petang pun tak hairan.


17/1/22

No comments: