Saturday, August 31, 2019

Boikot vs Mendahulukan


Mengapa anda memboikot?
Kami tidak memboikot. Kami mendahulukan kedai dan produk ahli-ahli syahadah.

Tak sama ke dengan boikot?
Tak sama. Kami hanya mendahulukan kedai dan produk ahli-ahli syahadah. Kami masih membeli di kedai dan produk bukan ahli-ahli syahadah, asalkan halal dan ada perlu.

Mendahulukan kedai dan produk orang-orang Melayu dan bumiputera? Bangsa lain punya macam mana? Tak rasis ke?
Kami tidak mendahulukan kedai dan produk Melayu dan bumiputera, tetapi mendahulukan kedai dan produk ahli-ahli syahadah, iaitu orang-orang Islam, tanpa mengira bangsa mereka sama ada Melayukah, bumiputerakah, Cinakah, Indiakah, Pakistankah, Arabkah, Thaikah, Jepunkah, atau sebagainya.

Thursday, August 29, 2019

Kisah-kisah Ahli Harap dan Takut


Kisah-kisah Ahli Harap dan Takut

Diriwayatkan bahawa Saiyidatina ‘A’isyah r.ha berkata, bahawa Rasulullah saw apabila berlaku perubahan udara dan berhembus angin kencang, maka wajah baginda berubah. Baginda bangun dan berulang-alik dalam kamar. Baginda masuk dan keluar. Semua itu adalah kerana takut akan azab Allah. (sebagaimana dalam riwayat Bukhari)
Renungkanlah betapa kuatnya takut Nabi saw kepada Allah.

Nabi saw bertanya kepada Jibril : “Mengapa aku tidak melihat (malaikat) Mikail itu ketawa?”
Maka jawab Jibril : “Mikail itu tidak tertawa sejak diciptakan naar.” (Ahmad, dengan sanad yang bagus)

Ali (cicit Rasulullah saw) bin Al-Husain apabila mengambil wudhu’, kuning warna wajahnya (pucat mukanya). Maka keluarganya bertanya kepadanya : “Apakah ini yang terbiasa pada engkau apabila berwudhu’?”
Jawabnya : “Apakah kamu tahu, di hadapanku, siapa yang aku kehendaki untuk berdiri kerana-Nya?”

Musa bin Mas’ud berkata : “Apabila kami duduk berhadapan dengan Sufyan Ath-Thauri, nescaya seolah-olah api telah mengelilingi kami, kerana kami melihat akan ketakutan dan kegundahannya.”
Begitu kuatnya maqam takut Sufyan sehinggakan ornag-ornag lain pun turut terasa bahang takutnya.

Al-Hasan al-Basri melewati seorang pemuda yang sedang tenggelam dalam tawa ria. Pemuda itu berada bersama-sama orang ramai di suatu majlis. Lalu Hasan al-Basri berkata kepadanya : “Wahai anak muda! Sudahkan engkau melintasi titian (di akhirat)?”
Jawabnya : “Tidak.”
Kata Hasan lagi : “Engkau sudah tahukah kesudahan engkau, sama ada ke jannah atau ke naar?”
Jawabnya : “Tidak!”
Maka kata Hasan : “Jadi, apakah ertinya ketawa ria ini?”
Kata Hasan seterusnya : “Maka anak muda itu tidak lagi terlihat ketawa sejak itu.”

Hatim al-Asham berkata :
Jangan engkau terpedaya dengan bagusnya tempat. Tiada tempat yang terbaik selain daripada jannah, dan Nabi Adam as telah pun menemui di jannah, apa yang telah ditemuinya. (Ertinya, di tempat sebaik itu pun Nabi Adam boleh terpedaya).
Dan jangan engkau terpedaya dengan banyaknya ibadah. Sesungguhnya Iblis, setelah sekian lama ia beribadah, maka ditemuinya apa yang telah ditemuinya.  (Ertiny
Dan jangan engkau terpedaya dengan banyaknya ilmu. Sesungguhnya Bal’am tahu dengan baik akan nama Allah Yang Maha Agung. Maka lihatlah apa yang telah ditemuinya.
Dan janganlah engkau terpedaya dengan melihat orang-orang soleh. Maka tiada seorang pun yang lebih besar tingkatannya di sisi Allah daripada nabi pilihan iaitu Nabi Muhammad. Tidak dapat diambil manfaat oleh keluarganya dan musuhnya walaupun mereka bertemu dengannya.

Maksudnya, kita mestilah ada takut dan ada harap. Kita takut terpedaya, dan berharap terselamat daripada terpedaya.

Keutamaan Takut akan Allah

Keutamaan Takut akan Allah

Sabda Nabi saw : “Aku yang lebih takut kepada Allah berbanding kamu.” (Bukhari)
Hal ini menunjukkan takut akan Allah itu adalah maqam yang terpuji, kerana baginda Rasulullah saw sendiri ada takut akan Allah. Bahkan dialah yang paling takut akan Allah. Bagaimana dengan kita yang mengaku sebagai pecinta baginda?

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya yang takut kepada Allah dalam kalangan hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu (para ulama).” (Fathir : 28)
Untuk mendapatkan maqma takut akan Allah ini, tidak lain adalah dengan kita mempelajari dan mengetahui ilmu agama. Melalui ilmu dan pemahaman agamalah maka maqam takut akan Allah itu akan dapat dicapai.

Allah SWT berfirman : “Petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang takut akan Rabbnya.” (Al-A;raaf : 154)
Begitu terpujinya maqam takut akan Allah ini sehinggakan Allah mengaitkannya dengan petunjuk dan rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman : “Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Ini adalah bagi orang yang takut kepada Rabbnya.” (Al-Bayyinah : 8)
Sebagaimana yang kita sedia maklum, keredhaan Alah adalah lebih besar daripada jannah. Di sini Allah mengaitkan pula keredhaan-Nya dengan maqam takut akan Dia.

Abdul Qasim Al-Hakim berkata : “Sesiapa yang takut kepada sesuatu, nescaya ia lari daripadanya. Tetapi sesiapa yang takut akan Allah, nescaya ia lari kepada Allah (lebih mendekatkan diri kepada Allah).”
Takut akan harimau, kita lari daripada harimau. Takut akan virus, kita menjauh daripada tempat merebaknya virus. Takut akan pemiutang (orang yang memberi kita hutang), kita mengelak daripada bertemu dengannya. Tetapi takut akan Allah, membuatkan kita lebih mendekat kepada-Nya.

Imam Al-Ghazali berkata : “Yang membuahkan (menghasilkan) takut itu ialah ilmu. Dan takut pula membuahkan (menghasilkan) wara’ dan taqwa.”
Fahamlah kita, bahawa sifat berilmu mendatangkan maqam takut akan Allah. takut akan Allah pula mendatangkan kewarakan dan ketaqwaan.

Allah berfirman : “Tidak akan sampai daging dan darah (haiwan qurban) itu kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah taqwa kamu.” (Al-Hajj : 37)
Kita boleh lihat di sini kaitan antara ibadah qurban dan taqwa.

Firman-Nya : “Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang lebih bertaqwa dalam kalangan kamu.” (Al-Hujurat : 13)

Firman-Nya : “Dan sesungguhnya Kami telah mewasiatkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu dan kepada kamu juga, supaya kamu bertaqwa kepada Allah.” (An-Nisa’ : 131)

Firman-Nya : “Dan takutlah akan Aku jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Ali “imran : 175)
Jelas di situ bahawa Allah memerintahkan agar kita ada takut kepada-Nya dan dikaitkan-Nya pula dengan iman.

Firman-Nya ‘Azza wa Jalla : “Dan sesiapa yang takut akan waktu berdiri di hadapan Rabb-nya, mendapat dua jannah.” (Ar-Rahman : 46)

Firman-Nya : “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan pengharapan dan takut.” (Al-Anbiya’ : 90)
Firman-Nya : “Mereka berdoa kepada Rabb mereka dengan penuh rasa takut dan harap.” (As-Sajjadah : 16)

Dua ayat ini menunjukkan bahawa kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah dengan adanya perasaan harap dan takut.