Friday, April 28, 2023

Pukulan Telapak Berapi

 

Lebih kurang 25 tahun yang lalu, sahaya ada berbual dengan seorang guru silat sendeng. Usianya sudah 60-an tetapi rupanya macam orang awal 50-an. Rambutnya langsung tidak beruban. Dia bercerita tentang sejenis pukulan tangan luar biasa. Nama pukulan itu tidaklah diterangkannya tetapi untuk memudahkan cerita kita maka sahaya sebut sahajalah sebagai Pukulan Telapak Api (macam dalam komik Hong Kong pula).


Pukulan Telapak Api ini menggunakan tapak tangan. Ia ada dua jenis iaitu :

1. Jenis pertama - Sekiranya pukulan itu kena pada badan orang, bahagian yang kena itu akan "terbakar", terasa panas, sakit, ada kesan hitam macam terbakar dan melepuh.

2. Jenis kedua - Sekiranya pukulan itu kena pada badan orang, tiada kesan yang kelihatan tetapi dalaman badan itu terutamanya pada tempat yang kena pukulan akan "terbakar" dan "hangus". Setelah menderita beberapa lama, akhirnya orang itu akan meninggal dunia.


Si guru silat itu ada pukulan jenis kedua. Jika ditepukkan tangannya kepada sebatang pokok, memang tidak ada sebarang kesan tetapi dalam beberapa hari pokok itu akan berguguran daunnya, mula mengering seakan2 dimakan api, dan akhirnya akan mati. Menurutnya, pokok itu jadi sedemikian kerana bahagian dalam pokok itu sudah "terbakar" dan "hangus".


Seminggu dua kemudian, ketika melalui kawasan tersebut memang sahaya nampak pokok itu sudah mati kekeringan dan kehitaman macam terbakar. Cuma sahaya tidak pasti sama ada ia berlaku kerana pukulan si guru atau pun kerana sebab2 yang lain (contohnya terkena panahan petir, atau budak2 main api lalu tak sengaja terbakar, atau memang sengaja dibakar orang, atau sebagainyalah). Wallahua'lam.


Patah balik ke cerita si guru. Tambahnya lagi, cara menghantar pukulan itu juga ada dua jalan iaitu :

1. Jalan pertama - Telapak tangan kita menyentuh lawan.

2. Jenis kedua - Telapak tangan diisyaratkan dari jauh sahaja tanpa menyentuh lawan.

Si guru silat mengakui dirinya hanya ada ilmu sebagaimana jalan pertama sahaja. Dari jaurak jauh pun boleh, dakwanya.


JIKA BENARLAH DAKWAANNYA, memang dapatlah menghanguskan dalaman tubuh orang dengan ilmu "kesaktian" cara dulu2. Cara orang2 zaman mutakhir ini mungkin lebih canggih. Wallahua'lam.


28/4/23

No comments: