Saturday, April 1, 2023

Jadual Malam Al-Qadr?

Pada setiap tahun apabila menjelang malam al-qadr maka akan dikeluarlah oleh orang2 akan jadual ramalan malam tersebut oleh pelbagai pihak termasuklah yang dikaitkan dengan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Khabarnya, jika permulaan Ramadhan bermula pada hari sekian2, maka malam al-qadrnya akan berlaku pada malam sekian2. Pendek kata, setiap tahunlah datang pertanyaan dan setiap tahunlah kita kena menjelaskannya. Jadi pada kali ini kita tuliskan penjelasannya akan mudah untuk diulang2 guna pada masa hadapan.


Sahaya pernah bertanya akan hal ramalan tersebut kepada mursyid sahaya dalam Tarekat Ghazaliyah iaitu Ustaz Muhammad Salleh, yang pernah bertanya juga kepada mursyidnya Ustaz Abdullah Khandak, yang pernah bertanya hal yang serupa juga kepada mursyidnya Kiai Salleh Gunung Pondok, yang juga pernah bertanya kepada mursyidnya Syeikh Muhammad bin Abdullah. Jawapannya - kemungkinan besar hal itu bukan daripada Imam al-Ghazali. Dalam Tarekat Ghazaliyah sendiri tidak ada diperturunkan pelajaran yang sebegitu. Padahal malam al-qadr bukanlah hal kecil. Hampir2 mustahillah Imam al-Ghazali tidak menurunkan ilmu yang dikatakan itu melalui tarekatnya sendiri jika benar ada.


Jadi, kami dalam tariq Ghazaliyah ini memang tidak menggunakan formula atau panduan tersebut. Memadailah dengan serba-sedikit panduan yang ada dalam kitab imam iaitu Ihya' 'Ulumuddin.


Dulu zaman muda2 sahaya pernah juga cuba mencari2 asal ramalan tersebut. Mungkin ia muncul hanya 600-700 tahun selepas zaman Imam al-Ghazali. Ada orang berkata, ia ditulis dalam kitab tertentu oleh ulama tertentu. Masalahnya :

i) dari mana sumber kukuh yang diambilnya?

ii) tarekatnya juga bukan Tarekat Ghazaliyah.

iii) kitabnya muncul hanya ratusan tahun selepas zamannya Imam al-Ghazali.

iv) ahli2 dalam Tarekat Ghazaliyah sendiri tidak mengetahui kewujudan hal tersebut.


Sungguhpun begitu, dulu pada setiap tahun guru kepada guru sahaya (Ustaz Abdullah) dan guru sahaya (Ustaz Muhammad) perhatikan juga jadual itu dan malam yang dijangkakan itu. Kemudian sahaya juga melakukannya sehingga sekarang. Hasilnya... jarang2 sekali ramalan itu kena dengan malam yang dijadualkan. Wallahua'lam.


1/4/23

No comments: