PERTANYAAN : Ustaz pernah ajar ilmu hadis tak?
JAWAPAN : Ada. Di bawah ini merupakan salah satu nota pengajian ilmu hadith yang saya buat pada tahun 2009 di Surau An-Nur, Trong, Perak. Dan sesekali memang saya adakan kuliah intensif asas ilmu hadith kepada para pelajar baru Tarekat Ghazaliyah kerana memang ada dalam sukatan tarbiyah tariq ini sejak zaman pengasasnya iaitu Imam al-Ghazali.
SEBAHAGIAN NOTA KULIAH ILMU HADITH & MUSTALAH HADITH 2008 (Sura An-Nur, Trong)
BILAKAH HADITH MULA DIKUMPULKAN?
Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz (99-101 Hijrah). Beliau ialah
cicit kepada Saidina Umar al-Khattab ra.
MENGAPAKAH HADITH TIDAK DIKUMPULKAN PADA ZAMAN RASULULLAH?
Kerana Rasulullah saw sendiri menegahnya:
"Janganlah kamu menulis daripadaku selain al-Quran, dan sesiapa yang telah
menulis daripadaku selain al-Quran maka hendaklah dia menghapuskannya."
MENGAPA RASULULLLAH MELARANG?
Untuk mengelakkan percampuran antara al-Quran dengan hadith.
APAKAH KHALIFAH UMAR SENDIRI YANG MENGUMPULKANNYA?
Tidak. Dia mengamanahkan kerja-kerja itu kepada salah seorang gabenornya
bernama Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazm dengan kata:
"Perhatikanlah hadith Rasulullah saw, kemudian engkau tuliskan kerana
sesungguhnya aku takut terhapusnya ilmu dan hilangnya ulama."
Khalifah Umar juga memerintahkan gabenor-gabenor lain turut mengumpulkan hadith
daripada ulama-ulama di sekitar mereka.
APAKAH KITAB HADITH TERTUA YANG MASIH ADA KETIKA INI?
Kitab al-Muwatta' susunan Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki).
6 IMAM HADITH YANG UTAMA
1. IMAM BUKHARI (194-256 H)
Berasal dari Bukhara, Uzbekistan kini. Kitabnya yang termasyhur ialah Sahih
Bukhari. Namanya Muhammad bin Ismail.
2. IMAM MUSLIM (204-261 H)
Anak murid Imam Bukhari. Kitabnya yang termasyhur ialah Sahih Muslim. Namanya
Muslim bin al-Hajjaj.
3. IMAM ABU DAUD (202- 275 H)
Kitabnya yang termasyhur ialah Sunan Abi Daud. Namanya Sulaiman bin al-Asy'ab.
4. IMAM TURMIZI (209-279 H)
Kitabnya yang termasyhur ialah Jami' at-Turmizi. Namanya Muhammad bin Isa.
5. IMAM AN-NASA'I (215-303 H)
Kitabnya Sunan An-Nasa'i. Namanya Ahmad bin Syuaib.
6. IMAM IBNU MAJAH (207-273 H)
Kitabnya yang terkenal ialah Sunan Ibnu Majah. Namanya Muhammad bin Yazid.
DEFINISI HADITH
APAKAH MAKSUD HADIS?
Dari segi bahasa Arab:
a) baharu
b) khabar/ berita
c) yang dekat/ belum lama lagi
Dari segi istilah ahli-ahli hadith:
"Segala ucapan, perbuatan dan keadaan Nabi saw."
Dari segi istilah ahli-ahli usul:
"Segala perkataan, perbuatan dan pengakuan (taqrir) Nabi.
Ada juga ulama yang mendefinisikan hadith sebagai:
"Segala ucapan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat Nabi saw."
CONTOH-CONTOH
APAKAH CONTOH PERKATAAN NABI?
Nabi saw bersabda:
"Izha qalarrajul, halakannaas, fahua ahlakuhum."
Maksudnya:
"Jika berkata seseorang, manusia sudah rosak, maka dialah yang paling
rosak dalam kalangan mereka."
APAKAH CONTOH PERBUATAN NABI?
Nabi saw mengerjakan solat. Para sahabat meniru gerak laku dalam solat itu.
APAKAH CONTOH PENGAKUAN NABI?
Para sahabat memakan biawak dhab, Nabi Muhammad tidak memakannya. Namun baginda
tidak pula menegur perlakuan para sahabat itu.
Berdiam dirinya Nabi membuktikan dia MENGAKUI perkara itu boleh. Mustahil
baginda akan berdiam diri jika para sahabat melakukan sesuatu kesalahan.
MENGAPA HADITH-HADITH DIKUMPUL DAN DITAPIS?
1. Banyak cerdik pandai Islam ketika itu yang gugur syahid ataupun berpindah ke
tempat lain.
2. Ada pihak-pihak yang berkepentingan mencipta dan menyebarkan banyak hadith
palsu.
Ringkasnya, hadith dikumpulkan supaya ia terpelihara.
MARTABAT-MARTABAT / DARJAT-DARJAT HADITH
Kebanyakan ulama meletakkan 3 darjat:
1. Hadith sahih
2. Hadith hasan
3. Hadith dhaif
HADITH SAHIH TERBAHAGI KEPADA 2 MARTABAT:
1. Sahih lizhatihi
2. Sahih lighairihi
HADITH HASAN JUGA TERBAHAGI KEPADA 2 MARTABAT:
1. Hasan lizhatihi
2. Hasan lighairihi
APAKAH HADITH SAHIH?
Hadis-hadis yang nilah kesahannya tinggi.
APAKAH HADITH HASAN?
Hadis-hadis yang nilai kesahannya sederhana.
APAKAH HADIITH DHAIF?
Hadis-hadis yang nilai kesahannya lemah (tidak mempunyai sifat-sifat hadith sahih
ataupun haith hasan)
HADITH SAHIH TERBAHAGI KEPADA 2 MARTABAT:
1. Sahih lizhatihi
2. Sahih lighairihi
APAKAH HADITH SAHIH LIZHATIHI ITU?
Hadith yang sanadnya bersambung (tidak terputus), dan pemindahan hadith itu
dari seorang ke seorang dilakukan oleh orang-orang yang adil dan dhobit.
APAKAH SANAD ITU?
Sanad ialah "jalan hadith" dari perawi hadith sehinggalah kepada
Rasulullah saw.
Contoh:
Imam Bukhari mendengar sendiri hadith itu dari A, A pula memang mendengar
sendiri hadith itu dari B, B pula memang dengar sendiri hadith itu dari C dan C
pula mendengar sendiri Nabi Muhammad mengucapkan hadith itu.
Dari Imam Bukhari sehinggalah ke Rasulullah, itulah yang dinamakan
"sanad" (rantaian sumber cerita).
BILAKAH BERLAKUNYA "SANAD TIDAK BERSAMBUNG" ATAU "SANAD
TERPUTUS"?
Apabila ada orang yang sepatutnya berada dalam "jalan hadith" itu,
tetapi dia tidak ada.
Contoh:
Imam Bukhari mendengar dari A, A mendengar dari C, dan C mendengar dari
Rasulullah. Padahal A dengan C tidak pernah bertemu. Mustahil A pernah
mengambil hadith daripada C. Jadi, Kita tidak tahu dari siapa A mengambil
hadith tersebut.
Sepatutnya ada seorang lagi dalam sanad/ jalan di atas tetapi dia tidak ada.
Situasi begini menjadikan "sanad terputus".
APAKAH MAKSUD "SEORANG YANG ADIL"?
Orang yang adil itu ialah seorang yang:
1. beragama Islam
2. baligh (sudah cukup umur)
3. berakal (tidak mereng walaupun sedikit)
4. diketahui tidak melakukan dosa-dosa besar
5. diketahui susah untuk melakukan dosa-dosa kecil pun
6. susah untuk dilihat melakukan sesuatu yang boleh merendahkan maruahnya
APAKAH MAKSUD "SEORANG YANG DHOBIT"?
Ialah seorang yang kuat ingatannya. Jika ditanya pada bila-bila masa pun,
dengan lancar dia menceritakannya tanpa melakukan kesalahan.
Seseorang itu dikira dabit juga jika dia menulis hadith itu dan memeliharanya
dengan baik. Ketika dipinta, dia menunjukkan tulisan yang dijaganya itu.
*Alhamdulillah, sekarang kita sudah memahami sepenuhnya maksud hadith sahih
lizhatihi iaitu:
Hadith yang sanadnya bersambung (tidak terputus), dan pemindahan hadith itu
dari seorang ke seorang dilakukan oleh orang-orang yang adil dan dhobit.
APAKAH HADITH SAHIH LIGHAIRIHI PULA?
Sifat-sifat hadith ini sama dengan hadith sahih lizhatihi kecuali:
1. ada antara perawinya yang kurang dobit, tetapi...
2. hadith ini ada dikuatkan oleh sebuah lagi hadith yang sama, yang datang dari
jalan/ sanad yang lain.
Sekiranya tidak disokong oleh hadith dari jalan/ sanad yang lain, ia tidak
boleh jadi hadith sahih lighairihi tetapi akan jadi hadith HASAN LIZHATIHI
(akan kita belajar kemudian).
Kita ambil satu contoh:
Ada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada MUHAMMAD BIN 'AMRU, daripada Abi
Salmah, daripada Abu Hurairah. Muhammad bin 'Amru seorang yang kurang dabit
(dhobit). Oleh itu hadith ini bertaraf HASAN LIZHATIHI.
Namun begitu, hadith yang sama ada diriwayatkan melalui sanad/ jalan lain iaitu
daripada al-'Iraj daripada Abu Hurairah. Hadith ini sudah menjadi penyokong
kepada hadith pertama. Oleh itu, hadith pertama tadi naik darjatnya jadi hadith
SAHIH LIGHAIRIHI.
Ringkasnya, ia memerlukan "hadith penyokong".
*Begitulah antara nota kuliah tersebut. Nota ini disalin semula dari blog saya Debunga Teratai Syurgawi pada tahun 2009.
Abu Zulfiqar
3/9/25
No comments:
Post a Comment