PUNCA-PUNCA DENGKI (live streaming malam semalam 31/8/25)
PERTAMA : Kerana permusuhan. Dengki jenis ini hanya akan berkurangan atau hilang apabila dia berjaya melakukan sesuatu yang dapat merugikan pihak yang didengkinya. Selagi pihak yang didengkinya itu tidak mengalami kerugian, dia tidak akan berpuas hati. Oleh itu, dia akan selalu merancang-rancang dan berusaha melakukan sesuatu yang tidak baik. Jenis ini jenoh hendak dihadap. Selagi dia tidak berpuas hati, selagi itulah dia tidak akan berhenti.
KEDUA : Kerana tidak mahu orang lain mendapat lebih daripada dirinya. Dia berprasangka buruk, kerana dia menyangka apabila orang lain melebihinya, orang lain itu akan sombong kepadanya.
KETIGA : Kerana sombong. Orang yang sombong itu memandang rendah orang lain dan mahu orang lain berada di bawahnya dengan mengikut segala perintah dan larangannya. Apabila orang lain itu mendapat sesuatu nikmat atau kelebihan, si sombong itu khuatir yang orang lain itu tidak lagi akan berada di bawah pengaruhnya dan tidak lagi menurut telunjuknya. Orang jenis ini tidak boleh menerima jika orang lain yang dipandangnya rendah selama hari ini tiba-tiba mahu menyamai atau melebihi dirinya pula. Dia tidak redha sama sekali hal itu berlaku.
KEEMPAT : Kerana ta’ajub (takjub) akan diri sendiri (hairan akan kelebihan diri).
KELIMA : Kerana takut kerugian dalam kepentingan-kepentingan tertentu. Menurut Imam Al-Ghazali, contohnya berdengki-dengkian antara sesama wanita yang bermadu dalam berebut perhatian suami, berdengki-dengkian sesama adik-beradik dalam berebut perhatian ibu bapa, berdengki-dengkian antara murid-murid kerana berebut perhatian guru, dan sebagainya.
KEENAM : Kerana mahu menjadi yang terbaik dan berasa dirinyalah yang terbaik. Jika diketahuinya ada orang lain yang setanding atau melebihinya dalam sesuatu bidang, dia tidak rela. Seboleh-bolehnya dia mahu kelebihan orang lain itu hilang, agar tidak menyamai atau melebihinya. Contohnya dari segi keberanian, ilmu pengetahuan, ibadah, perniagaan, kecantikan, kekayaan dan sebagainya.
KETUJUH : Kerana sifatnya memang suka orang lain mengalami kerugian. Apabila orang lain mendapat sesuatu, seolah-olah orang lain itu mengambil haknya pula. Padahal dia sendiri tidak memiliki semua itu pun. Orang dapat kerja, dia dengki, seolah2 sepatutnya dia yang dapat kerja itu. Orang dapat hadiah, dia dengki, seolaha2 sepatutnya dia yang dapat hadiah itu. Orang dapat pergi haji, dia dengki, seolah2 sepatutnya dia yang dapat pergi haji. Orang dapat beli motosikal baharu, dia dengki, seolah2 sepatutnya dia yang berhak mendapat motosikal itu.
- Channel Tele : Ilmu2 Imam Al-Ghazali
No comments:
Post a Comment