Sunday, September 28, 2025

Takut dan Harap Akan Allah

 

TAKUT DAN HARAP AKAN ALLAH (petikan live streaming 23.9.25)

 

Sesungguhnya harap (ar-raja’) dan takut (al-khauf) merupakan dua sayap yang dengan kedua-duanya itu, orang-orang muqarrabin (yang dekat dengan Allah) terbang ke setiap pangkat yang terpuji. Harap dan takut itu juga umpama dua bilah pisau yang dengan kedua-duanya itu, orang-orang yang berjalan ke akhirat memotong setiap tebing yang sukar didaki (lalu perjalanan mereka menjadi lebih mudah).

 

Sabda Nabi SAW : “Apabila hamba itu berdosa dengan sesuatu dosa lalu ia meminta keampunan Allah, maka Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada para malaikat-Nya : “Lihatlah kepada hamba-Ku yang telah berdosa dengan suatu dosa. Maka ia tahu yang ia ada Rabb yang mengampunkan segala dosa dan yang menyiksakan dengan dosa itu. Aku persaksikan kepada kamu bahawa Aku telah mengampunkan dosanya.” (Bukhari, Muslim)

 

Maksudnya Allah suka jika kita bertaubat dan memohon keampunan, kerana dalam perlakuan itu ada pengiktirafan terhadap-Nya sebagai Tuhan, ada pengakuan bahawa kita hamba kepada Dia, dan ada pengakuan bahawa kita yakin Dialah yang berkuasa untuk mengampunkan dosa-dosa.

 

Berdoa tidak bertentangan dengan tawakal. Berusaha tidak bertentangan dengan berserah kepada Allah. Meminta tidak bertentang dengan bersyukur. Bekerja keras tidak bertentangan dengan redha. Dan semua itu termasuklah berjuang, berjihad, buat prepping, pakai baju besi dalam peperangan dan sebagainya – tidak bertentangan dengan yakin, tauhid, tawakal, berserah, bersyukur dan redha.

No comments: