Sunday, September 28, 2025

Kisah2 Ahli Takut dan Harap

 

KISAH-KISAH AHLI HARAP DAN TAKUT (petikan live streaming 23.9.25)

 

Diriwayatkan bahawa Saiyidatina ‘A’isyah r.ha berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila berlaku perubahan udara dan berhembus angin kencang, maka wajah baginda berubah. Baginda bangun dan berulang-alik dalam kamar. Baginda masuk dan keluar. Semua itu adalah kerana takut akan Allah. (sebagaimana dalam riwayat Bukhari). Renungkanlah betapa kuatnya takut Nabi saw kepada Allah.

 

Nabi SAW bertanya kepada Jibril : “Mengapa aku tidak melihat (malaikat) Mikail itu ketawa?”

Maka jawab Jibril : “Mikail itu tidak tertawa sejak diciptakan naar.” (Ahmad, Ibnu Abid dunya, Baihaqi))

 

Musa bin Mas’ud berkata : “Apabila kami duduk berhadapan dengan Sufyan Ath-Thauri, nescaya seolah-olah api telah mengelilingi kami, kerana kami melihat akan ketakutan dan kegundahannya.”

Begitu kuatnya maqam takut Sufyan sehinggakan orang lain pun turut terasa bahang takutnya.

 

Hatim al-Asham berkata :

a        Jangan engkau terpedaya dengan bagusnya tempat. Tiada tempat yang terbaik selain daripada jannah, dan Nabi Adam as telah pun menemui di jannah, apa yang telah ditemuinya. (Ertinya, di tempat sebaik itu pun Nabi Adam boleh terpedaya). Maka kena ada takut dan harap akan Allah.

b        Dan jangan engkau terpedaya dengan banyaknya ibadah. Sesungguhnya Iblis, setelah sekian lama ia beribadah, maka ditemuinya apa yang telah ditemuinya.  (Ertinya, dengan sebegitu banyak ibadah pun dia masih boleh terpedaya.

c         Dan jangan engkau terpedaya dengan banyaknya ilmu. Sesungguhnya Bal’am tahu dengan baik akan nama Allah Yang Maha Agung. Maka lihatlah apa yang telah ditemuinya.

d        Dan janganlah engkau terpedaya dengan melihat orang-orang soleh. Maka tiada seorang pun yang lebih besar tingkatannya di sisi Allah daripada nabi pilihan iaitu Nabi Muhammad. Tidak dapat diambil manfaat oleh keluarganya dan musuhnya walaupun mereka bertemu dengannya.

 

Maksudnya, kita mestilah ada takut dan ada harap. Kita takut terpedaya, dan berharap terselamat daripada terpedaya.

No comments: