Tuesday, September 16, 2025

Syeikh Daud al-Fatoni dan Tarekat Ghazaliyah

Pertanyaan : Syeikh Daud al-Fatoni dan Syeikh Abdus Somad al-Falimbani bersahabat baik, pernah sama2 belajar di Patani dan di Tanah Haram, malah berperang bersama2 dalam Perang Patani. Sebagaimana yang kita maklumi bahawa Syeikh Abdus Somad al-Falimbani mengamalkan Tarekat Ghazaliyah di samping tarekat2 lain, bahkan dia salah seorang syeikh mursyid dalam tarekat ini. Pertanyaannya, adakah Syeikh Daud al-Fatoni juga mengamalkan Tarekat Ghazaliyah?

 

Jawapan : Setakat yang sahaya tahu, berdasarkan maklumat2 yang sampai kepada kita, Syeikh Daud al-Fatoni tidak beramal dengan Tarekat Ghazaliyah. Namun kemungkinannya tetap ada. Hal ini kerana Syeikh Daud al-Fatoni memang ada berguru dengan Syaikh ‘Isa bin Ahmad al-Barawi, iaitu salah seorang syeikh mursyid yang berada dalam sanad Tarekat Ghazaliyah. Beliau dan sahabat2nya seperti Syeikh Abdus Somad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dll banyak menuntut ilmu dengan Syaikh ‘Isa al-Barawi. Maka tidak mustahil juga beliau ada mengambil Tarekat Ghazaliyah.

 

Kedudukan Syaikh ‘Isa al-Barawi dalam sanad Tarekat Ghazaliyah adalah seperti berikut :

Sahaya mengambil tariqah ini daripada Tuan Guru Muhammad Salleh bn Abdul Rahman, yang mengambil daripada Tuan Guru Abdullah Khandak, yang mengambil daripada Kiai Soleh Gunung Pondok, yang mengambil daripada Syeikh Muhammad bin Abdullah, yang mengambil daripada Syeikh Ismail bin Muhammad Salim, yang mengambil daripada Syeikh Ahmad ad-Dayurbi, yang mengambil daripada Syeikh Muhammad bin ‘Ali asy-Syanwani, yang mengambil daripada Syaikh ‘Isa bin Ahmad al-Barawi. Wallahua’lam.

No comments: