Sunday, September 28, 2025

Kemuliaan Takut Akan Allah

 

KEMULIAAN TAKUT AKAN ALLAH (petikan live streaming 23.9.25)

 

Sabda Nabi SAW : “Aku yang lebih takut kepada Allah berbanding kamu.” (Bukhari)

 

Hal ini menunjukkan takut akan Allah itu adalah maqam yang terpuji, kerana baginda Rasulullah SAW  sendiri ada takut akan Allah. Bahkan dialah yang paling takut akan Allah. Bagaimana pula dengan kita yang mengaku sebagai pencinta baginda?

 

Untuk mendapatkan maqam takut akan Allah ini, tidak lain adalah dengan kita mempelajari dan mengetahui ilmu agama. Melalui ilmu dan pemahaman agamalah maka maqam takut akan Allah itu akan dapat dicapai.

 

Abdul Qasim Al-Hakim berkata : “Sesiapa yang takut kepada sesuatu, nescaya ia lari daripadanya. Tetapi sesiapa yang takut akan Allah, nescaya ia lari kepada Allah (lebih mendekatkan diri kepada Allah).”

 

Takut akan harimau, kita lari daripada harimau. Takut akan virus, kita menjauh daripada tempat merebaknya virus. Takut akan pemiutang (orang yang memberi kita hutang), kita mengelak daripada bertemu dengannya. Tetapi takut akan Allah membuatkan kita lebih mendekat kepada-Nya.

 

Firman-Nya : “Mereka berdoa kepada Rabb mereka dengan penuh rasa takut dan harap.” (As-Sajjadah : 16)

 

No comments: