BERIHSAN DALAM BERMU’AMALAH (DALAM BERURUSAN ANTARA SESAMA MANUSIA) - live streaming malam semalam 1/9/25
Ihsan yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali di sini ialah perbuatan yang bermanfaat kepada orang yang melakukan mu’amalah, padahal perbuatan itu tidaklah jatuh wajib ke atasnya pun.
Pertama : Dengan bertolak-ansur. Sekiranya pelanggan membayar lebih untuk mendapatkan sesuatu barang atau perkhidmatan kerana dia sangat mahu atau sangat suka, peniaga boleh menerimanya tetapi janganlah melampau dalam menerima bayaran lebih.
Kedua : Berlebih kuranglah dengan orang2 yang lemah. Contohnya, janganlah berkira sangat jika kita membeli sesuatu daripada orang-orang miskin. Bayar lebih sedikit pun tidak mengapa. Sekiranya barangan yang dibeli itu kurang kualitinya, terimalah seadanya. Hal ini tidaklah wajib dilakukan, tetapi Allah suka jika kita melakukannya.
Ketiga : Sekiranya mampu, sesekali izinkanlah orang berhutang, sesekali izinkanlah penangguhan bayaran hutang, dan sesekali kurangkanlah jumlah bayaran hutang itu. Hal ini tidaklah wajib dilakukan, tetapi Allah suka jika kita melakukannya.
Keempat : Sekiranya kita berhutang, berusahalah untuk memudahkan pembayarannya. Segerakan bayarannya. Jika lebih awal, lebih bagus. Biarlah kita yang pergi menghadap si pemberi hutang, bukannya menunggu si pemberi hutang terpaksa mencari-cari kita.
Kelima : Sekiranya mampu, terimalah kembali barang belian yang mahu dipulangkan oleh pembeli. Sudah tentu ada sebab-sebabnya pembeli tidak berpuas hati walaupun sudah dilakukan aqad persetujuan. Hal ini tidaklah wajib dilakukan, tetapi Allah suka jika kita melakukannya.
Keenam : Sekiranya kita sedang mampu, mudahkanlah orang-orang miskin untuk membeli daripada kita. Contohnya : “Ambillah dulu. Nanti dah ada duit, baru bayar.” Contohnya lagi : “Encik boleh bayar sekarang. Tetapi jika encik belum mampu membayarnya, halal bagi encik untuk memakannya. Encik boleh bayar kemudian pada bila-bila masa.” Hal ini tidaklah wajib dilakukan, tetapi Allah suka jika kita melakukannya.
- Channel Tele : Ilmu2 Imam Al-Ghazali
No comments:
Post a Comment