Wednesday, July 12, 2023

Tafsir Mimpi Berjalan ke Kedai Berhampiran Masjid

 

Seorang hamba Allah mohon ditafsirkan mimpinya. Dia bermimpi berjalan kaki dari rumahnya ke masjid dan mahu singgah di sebuah kedai runcit. Kedai runcit itu agak jauh juga, lebih kurang 3 kilometer jaraknya. Si hamba Allah yang berjubah putih berjalan dengan bersemangat sekali. Sedikit pun tidak lelah malah sesekali dia tersenyum.


Jalan itu panjang lurus. Di penghujung jalan lurus itu ada masjid. Tetapi untuk tiba di kedai tersebut, di hujung jalan itu (di depan masjid) si hamba Allah kena membelok ke kanan sedikit kerana kedai itu terletak tidak jauh dari situ. Macam-macam barang ada di kedai itu.


Tiba di hadapan kedai, si hamba Allah mengemaskan lilitan serbannya yang berwarna putih juga. Dia pun masuk ke kedai dan bertanya tentang barang yang mahu dibelinya. Tetapi barang itu tidak ada ketika itu kerana belum sampai lagi. Si hamba Allah pun tersenyum sambil mengatakan, “Tak mengapa.” Dia pun melihat2 barang yang lain walaupun tiada keperluan untuk mendapatkannya.


Tamatlah mimpi.


MAKSUD MIMPI


Selepas dua hari barulah sahaya berjaya mendapatkan tafsirnya.


Berjalan jauh, tetap matlamatnya, berjubah dan berserban – Ertinya tuan mempunyai harapan, cita-cita dan keinginan yang kuat. Tuan memang sedang mengusahakan hal-hal tertentu yang berkaitan dengan keagamaan dengan gigih.


Jalannya lurus dan di hujungnya ada masjid = Ertinya jalan” yang tuan sedang lalui dan usahakan itu adalah benar. Jalan atau usaha itu adalah “lurus” menuju kepada Allah.


Membelok ke kanan untuk ke kedai = Kedai itu ialah wanita atau tepatnya ialah isteri tuan. Membelok menuju ke kedai itu bererti tuan tidak mementingkan diri sendiri sahaja tetapi berusaha dan menjalankan tanggungjawab untuk membawa isteri tuan sama kepada Allah.


Membetulkan serban putih = Ertinya tuan berusaha untuk mencantikkan amal2 agama kerana masih belum memuaskan hati lagi terutamanya dalam bab tauhid dan tasawuf (secara ringkasnya begitu berdasarkan serban yang kedudukannya di kepala, dan serban juga bukanlah pakaian utama sebagaimana baju/ jubah/ seluar, serta tuan “mengemaskan” lilitan serban itu. Ia bertahap kemasan, bukannya hal2 asas)


Di kedai itu macam2 ada tetapi barang yang dicari tidak ada ketika itu = Ertinya isteri tuan insya-Allah bagus serba-serbi cuma dari segi keagamaannya untuk sampai ke tahap sebagaimana yang tuan harap2kan itu, tuan kena menunggu (dan tentunya sambil berusaha) sehingga tiba masanya nanti. Bilakah tibanya? Tidaklah diketahui kerana tiada maklumat berkaitan dalam mimpi tersebut. Sungguhpun begitu, tuan tetap tenang2 dan senang2 hati sahaja tanpa merungut.


Gabungan daripada semua maklumat2 di atas inilah tafsir kepada mimpi tersebut. Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

12/7/23

Laman Debunga Teratai Syurgawi


No comments: