Saturday, July 15, 2023

Berdamai dengan Takdir

 

Kata-kata yang berbunyi “berdamai dengan takdir” itu sangat bagus. Tetapi apabila dibualkan lebih lanjut, ternyata segelintir daripada yang berpegang dengan ungkapan ini sebenarnya sudah terpegang fahaman jabbariah. Masalahnya, banyak antara mereka yang segelintir itu tidak tahu apa itu fahaman jabbariah. Lebih menyulitkan apabila mereka berasa tidak penting pun untuk mengambil tahu lebih lanjut tentang fahaman jabbariah itu. Yang penting (kononnya) asalkan ikhlaskan hati je, bersangka baik dengan Allah je, yakin je, serah kepada Dia je, jangan cari salah orang, elakkan berdialog panjang2 kerana berdiam lebih baik, saling meraikan je, dan sebagainya.


Alangkah berbahayanya sikap sebegini. Hal ini bukan perkara kecil.


Contoh 1 : Dia sudah makan duit pejabat belasan ribu ringgit, lalu dia sekadar meminta supaya semua orang berdamailah dengan takdir. Harapannya agar semua orang rela, dia tidak dipandang sebagai bersalah, dan dia tidak perlu membayar ganti rugi. Inikah berdamai dengan takdir yang dimaksudkan oleh agama?


Contoh 2 : Dia sudah merosakkan beberapa orang anak gadis orang, lalu kemudiannya dia mendakwahkan agar semua orang berdamailah dengan takdir sebagaimana dirinya. Sebenarnya itu helahnya agar dia tidak berasa berdosa, dia dimaafkan sahaja oleh semua orang, dan dia terlepas daripada kena bertanggungjawab. Ini rupanya berdamai dengan takdir yang dipegangnya.


Contoh 3 : Dia sudah melakukan kecuaian dan kesilapan sehingga seluruh ahli keluarganya kena menderita menanggung kesan perbuatannya, lalu apabila terbongkar perbuatannya itu, dia pun berkata ala orang2 kuat iman, “Sebab itulah saya katakan bahawa kita berdamailah dengan takdir.” Hal itu tidak lain agar pandangan orang terhadapnya tidak jatuh, dia tidak perlu buat sebarang pembetulan, dan orang2 lain tidak boleh menegur atau menasihatinya.


Contoh 4 : Dia tidak solat, tidak berpuasa dan istiqamah pula minum arak, lalu dia menasihati orang lain agar berdamailah dengan takdir. Sudah takdir dirinya begitu, apa lagi yang boleh dibuatnya? Semuanya kerja Allah. Sesiapa yang mempertikaikan perlakuan dirinya, samalah seperti mempertikaikan Allah. “Kalian semua berani pertikaikan kehendak dan takdir Allah?” Helahnya berdamai dengan takdirnya itu hanyalah untuk berusaha menutup mulut orang lain, maksiatnya tidak diganggu oleh sesiapa, dan dia tidak oleh dikata berdosa atau melanggar perintah Allah.


Inilah antara contoh2 berdamai dengan takdir yang salah. Bukan orang2 yang mengikuti ajaran2 pelik sahaja yang terkena, orang2 biasa pun ramai yang berfahaman sebegini walaupun mereka tidak mengikuti sebarang ajaran pelik.


Semoga Allah tunjuki kita “jalan yang lurus”.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

14/7/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: