Wednesday, July 19, 2023

Huzaifah, Akhir Zaman & Zaman Akhir (bah. 2/2)

 

Dengan izin Allah, sampailah kita ke bahagian terakhir penulisan ini. Sangat bagus jika dapat diulang baca terlebih dahulu penulisan bahagian pertama sebelum ini agar jelaslah kesinambungan dan hubungan isi kandungannya. Jika sudah dimaklumi akan isi kandungan bahgaian pertama itu, maka kita teruslah ke kesudahannya sebagaimana di bawah ini.


1. HUZAIFAH AL-YAMAN DAN IMAM AL-GHAZALI


Imam al-Ghazali mewarisi ilmu2 akhir zaman dan ilmu zaman akhir daripada Huzaifah al-Yaman r.a lalu mewariskan pula ilmu2 itu kepada generasi2 seterusnya sehinggalah sampai kepada umat hari ini. Berikut merupakan sanad Tariqah Ghazaliyah yang menghubungkan antara Huzaifah al-Yaman dan Imam al-Ghazali.


- Daripada Rasulullah saw kepada Huzaifah al-Yaman, kepada Hasan al-Basri, kepada Habib al-Ajami, kepada Dawud at-Ta’i, kepada Ma’ruf al-Karkhi, kepada Siri as-Saqti, kepada Juanid al-Baghdadi, kepada Abu Sa’id al-’Arabi, kepada Abu Talib al-Makki, kepada Yusuf bin Muhammad, kepada Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf, kepada Abdul Malik bin Abdullah, kepada Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazali.


Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin :

Hasan Al-Basri merupakan seorang manusia yang KATA-KATANYA MENYERUPAI KATA-KATA PARA NABI (*Imam al-Ghazali kemudiannya begitu juga) dan petunjuk yang diberikannya kepada manusia menghampiri PETUNJUK PARA SAHABAT Nabi saw (*berkait rapat dengan R4’S iaitu Rasulullah saw, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat2 utama yang lain). Dan telah sepakatlah hal itu terhadap Al-Hasan itu. Sebahagian besar perkataan Al-Hasan adalah tentang gurisan hati (qalbu), kerosakan amal, kebimbangan jiwa, dan sifat-sifat yang tersembunyi yang tidak jelas daripada keinginan hawa nafsu.


Pernah orang berkata kepadanya : “Wahai Abi Sa’id! Tuan berkata-kata dengan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada orang lain. Daripada mana tuan ambil?”

Al-Hasan menjawab : “Daripada HUZAIFAH bin Al-Yaman.”


Kemudian ditanyakan kepada Huzaifah : “Kami melihat tuan mengeluarkan perkataan yang tidak pernah terdengar daripada para sahabat Nabi saw yang lain. Daripada mana tuan ambil?”

Huzaifah menjawab : “Ditentukan oleh Nabi saw perkataan-perkataan itu kepada aku. Orang lain bertanya kepada Nabi saw tentang kebajikan, aku bertanya kepadanya tentang kejahatan (*selain daripada bertanya tentang kebajikan juga), kerana aku takut terjatuh ke dalamnya. Dan aku tahu bahawa kebajikan itu tidak perlu aku mengetahuinya dengan terburu-buru.” TAMAT.


Jadi, Huzaifah al-Yaman merupakan seorang yang sangat cekap lagi cepat menyaring antara yang haqq (kebenaran) dan yang batil (kesalahan). Inilah antara pengisian jalan keselamatan sebagaimana mazhabnya Huzaifah ra. Imam al-Ghazali mewarisi jalan ini lalu ditajdidkan, dimurnikan, didirikan sebagai satu ilmu yang berdiri sendiri, diistilahkan, dikembangkan dan sebagainya pada zamannya, iaitu lebih 400 tahun kemudian. Maka terasaslah Tarekat Ghazaliyah yang turut diterapkan dalam pelajarannya akan 10 kualiti Huzaifah al-Yaman sebagaimana yang disenaraikan dalam bahagian pertama artikel ini.


Ilmu2 ini termasuklah 10 kualiti itu pula diperturunkan secara bersanad tanpa terputus daripada satu generasi ke satu generasi sampailah kepada kita hari ini termasuklah ilmu tentang zaman akhir yang biasa disebut sebut sebagai ilmu al-sa’ah (as-sa’ah). Sanadnya lebih panjang dan tidaklah kita muatkan di sini.


2. ILMU HUZAIFAH TENTANG ZAMAN AKHIR


Dalam banyak2 hadith, HADITH JIBRIL merupakan dasar agama Islam ini. Menurut hadith tersebut, dalam Islam ada 4 tungku ad-ddin yang disebut juga sebagai 4 tiang agama, 4 rukun agama, 4 mata angin ad-diin, 4 penjuru pagar agama, 4 fardhu agama dan sebagainya. Keempat2 tungku ad-diin ini ditekankan oleh Rasulullah saw, Huzaifah al-Yaman, Imam al-Ghazali dan seterusnya sampailah ke hari ini.


i) Tiang AL-IMAN – membicarakan tentang aqidah, tauhid, usul ad-diin (usuluddin), ilmu kalam, perbandingan agama, wilayah aqal fikiran dan seumpamanya.

ii) Tiang AL-ISLAM – membicarakan tentang fiqh, usul fiqh, hukum-hakam, wilayah anggota badan dan seumpamanya.

Iii) Tiang AL-IHSAN – membicarakan tentang tasawuf, sufi, tarekat, tauhid, wilayah qalbu (hati, ruh, jiwa) dan seumpamanya.

iv) Tiang AL-SA’AH - membicarakan tentang akhir zaman khususnya zaman akhir, zaman fitnah, hari2 akhir dunia, hari kehancuran, fiqh tajdid, wilayah zaman (masa) dan keadaan, dan seumpamanya.


Kesemua ilmu di atas ada ahli2nya dan turun secara bersanad tanpa terputus sampailah ke zaman kita ini. Huzaifah al-Yaman merupakan mahaguru dalam rukun agama keempat iaitu ilmu2 as-sa’ah ini.


3. IMAM AL-GHAZALI DAN ILMU AS-SA’AH


Tarekat Ghazaliyah ini turunnya 4 sekawan. Selain daripada ilmu Tariqah Ghazaliyah itu sendiri, melalui sanad yang sama diiringi juga oleh 3 lagi sahabatnya iaitu :


i) Ilmu ‘aqidah (al-iman). Imam al-Ghazali mengasaskan sukatan pelajaran ‘aqidahnya sendiri berasaskan Mazhab ‘Aqidah Asya’irah iaitu Risalah Qudsiyah. Imam Al-Ghazali tidak menggunakan sukatan pelajaran Sifat 20 sebagaimana kebiasaan sebahagian umat Islam tetapi beliau mengasaskan sukatan pelajaran Rukun 3 (bukan tauhid 3 serangkai). Hal ini boleh dipelajari dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin pada kitab Qawaid al-’Aqaid.


ii) Ilmu as-sa’ah (*yang sedang kita bicarakan ini)


iii) Ilmu ‘alam (ilmu tentang alam, bukan ilmu geografi tetapi ilmu geografi termasuk di dalamnya)


Oleh sebab itu umumnya semua mursyid/syaikh/guru Tarekat Ghazaliyah sejak zaman Imam al-Ghazali mempunyai pengetahuan dalam 4 sekawan ini sekalipun keutamaannya tetaplah pada ilmu2 Tariqah Ghazaliyah itu sendiri manakala yang tiga lagi itu sebagai penambahan atau pengayaan sahaja.


Maka tidak hairanlah jika ahli2 Tariqah Ghazaliyah terus ditarbiahkan dengan intipati kualiti diri Huzaifah al-Yaman berkaitan zaman bencana, zaman fitnah, zaman kekeliruan, akhir zaman, zaman akhir, kewaspadaan terhadap bahaya2 yang tidak disedari oleh kebanyakan orang, realistik dengan edaran zaman, bersedia dan membuat persediaan sekadar kemampuan untuk zaman semasa dan akan datang, berfikir melangkaui zaman, berusaha dan berikhtiar dengan selayaknya mencari solusi zaman, berani, sensitif dengan musuh2 dalaman Islam sendiri, dan sebagainya. Ilmu2 ini juga kita kongsikan dengan orang ramai melalui pengajian2 as-sa’ah atau pengajian2 zaman akhir.


PENUTUP


Semoga dengan jawapan ringkas sebanyak dua bahagian penulisan ini dapatlah sedikit-sebanyak memenuhi pertanyaan yang diajukan iaitu, “Antara sahabat Nabi yang paling penting untuk zaman akhir ialah Huzaifah Al-Yaman, kerana usaha2 dan “peninggalan2nya”. Boleh ustaz huraikan SEDIKIT?”


Rajin2lah kita meneliti hadith2 atau atsar2 berkaitan akhir zaman dsb yang Huzaifah al-Yaman terlibat di dalamnya. Rajin2lah juga mengkaji aktiviti2 Imam al-Ghazali terutama pada zaman uzlah akbarnya selama lebih kurang 11 tahun kerana di situlah berlakunya pengembangan ilmu dan praktikal berkaitan ilmu2 as-sa’ah ini (yang kebanyakan orang sangka beliau hanya duduk beruzlah sendirian sahaja di masjid2 sepanjang tempoh tersebut) . Insya-Allah sekurang2nya dua usaha ini dapat menambahkan pengetahuan dan pemahaman tentang tiang as-sa’ah. Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

19/7/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi


No comments: