Sunday, July 2, 2023

Dalih Iblis vs Keakuran Adam

Jika sudah tak ada rezeki,

duduk serumah dengan agamawan pun tak dapat agama,

bersaudara dengan agamawan pun tak dapat agama,

membesar bersama2 agamawan pun tak dapat agama,

tinggal sekampung dengan agamawan pun tak dapat agama,

bersahabat karib dengan agamawan pun tak dapat agama,

berkahwin dengan agamawan pun tak dapat agama,

jadi anak agamawan pun tak dapat agama,

berjiran dengan agamawan pun tak dapat agama.

Lemah agama dan kurang agama pun begitulah jua.


Begitulah teladan daripada kisah Rasulullah saw dengan sebahagian orang2 di sekelilingnya. Ada ahli keluarganya, ada bapa saudaranya, ada rakan sepermainannya, ada jiran tetangganya, ada yang pernah berjuang dan berperang bersama2 dengannya, ada yang berkerjaya berniaga sepasar dengannya.... mereka hidup bersama2 dengannya sedemikian lama, tetapi tidak direzekikan oleh Allah untuk mendapat agama, atau jadi lemah agama, atau kurang agama.


Kita jangan sesekali salahkan takdir, ketentuan, qada' qadar, hikmah, aturan, kuasa, ilmu, atau kehendak-Nya Allah kerana semua itu kerja-Nya yang TIDAK AKAN DIPERSOAL dan DIMINTA PERTANGGUNGJAWABAN di hadapan-Nya kelak. Tetapi kita tumpukan kepada usaha dan ikhtiar kita, kesalahan dan kelemahan kita, kerana itulah YANG PASTI AKAN DIPERSOAL dan DIMINTA PERTANGGUNGJAWABANNYA di akhirat nanti.


Allah TIDAK berdosa, bersalah, tersilap, terkurang, terlemah, cuai, lalai dan sebagainya tetapi kitalah yang berdosa, bersalah, tersilap, terkurang, terlemah, cuai, lalai dan sebagainya.


Firman-Nya 'Azza wa Jalla : "Dia (Allah) TIDAK AKAN DIPERSOAL tentang apa yang dilakukan-Nya, tetapi merekalah (manusia dan jin) YANG AKAN DIPERSOAL (tentang segala perlakuan mereka)." (Al-Anbiya' : 23)


Jika di akhirat nanti ditanya, "Mengapa engkau tidak dapat agama?"

Tidak boleh diletakkan kesalahan itu kepada Allah dengan jawapan, "Kerana engkau yang mentakdirkan, menentukan, dan memilih aku tidak dapat agama." Ini serupa dengan jawapan Iblis apabila ia ditanya oleh Allah, "Mengapa engkau tidak bersujud kepada Adam?" Iblis dilaknat selamanya oleh Allah.


"Iblis membalas (kepada Allah) : "Oleh kerana Engkau yang menjadikan aku tersesat (bukannya aku yang membuatkan diri aku sendiri tersesat)..." (Al-A'raaf : 16)


Iblis yang konon hebat ma'rifahnya itu meletakkan kesalahan, kesilapan dan dosanya pada takdir Allah, ketentuan, qada' qadar, hikmah, aturan, kuasa, ilmu, atau kehendak-Nya Allah. Ajaran sebegini banyak tersebar di serata internet hari ini dengan BERTOPENGKAN istilah2 yang benar seperti makrifat, ilmu hakikat, mengenal diri, mengenal Allah dan sebagainya.


Hal ini berbeza dengan Nabi Adam as yang apabila melakukan kesilapan lalu mengakui kesilapannya, bukannya meletakkan kesilapan itu kepada Allah. Maka Adam yang lebih hebat ma'rifahnya itu pun bertaubat (mengakui kesalahannya dan memohon ampun bersungguh2). Dia terselamat daripada laknat Allah, diampuni malah diredhai-Nya.


"Kemudian Adam menerima daripada daripada Rabb-nya beberapa kalimah, lalu ALLAH MENERIMA TAUBATNYA..." (Al-Baqarah : 37)


Iblis menyandarkan kesalahannya kepada Allah. Sebab itulah dia berasa tidak bersalah dan enggan bertaubat. Sebaliknya Nabi Adam as mengakui kesalahannya sendiri walaupun dia lebih maklum bahawa pada hakikatnya segala yang berlaku adalah kerja Allah, lalu dia bertaubat, yakni berusaha membuat pembetulan.


Begitulah sangat berbeza pekerjaan orang yang ma'rifahnya pada maqam AWWAL ad-diin (awwaluddin) dengan orang yang ma'rifahnya sudah sampai pada AKHIR ad-diin (akhiruddin).


Jika ditanya, "Mengapa engkau kurang agama?"

(Tidak boleh diletakkan kesalahan itu kepada Allah dengan jawapan, "Kerana engkau yang menentukan begitu, atas qada' dan qadar-Mu.")


Jika ditanya, "Mengapa engkau melakukan kesilapan besar dalam beragama?"

(Tidak boleh diletakkan kesalahan itu kepada Allah dengan jawapan, "Kerana semua yang berlaku adalah atas kuasa, ilmu dan ketentuan-Mu. Engkau Maha Mengetahui. Setiap sesuatu pasti ada hikmahnya. Engkau berkuasa, aku tiada apa-apa kuasa........")


Jika dtanya, "Mengapa engkau melakukan maksiat dan dosa?" Sama juga keadaannya.

Ditanya kepada Namrud, Fir'aun dan Abu Jahal, "Mengapa engkau tidak mahu mengakui utusan Allah?" Sama juga keadaannya.


Yang dihisab, dipersoal dan diminta pertanggungjawaban ialah : "Apa yang engkau buat (apa usaha dan ikhtiarmu)?" bukannya : "Apa yang Aku buat?"


Jadilah sebagaimana "keadaannya" para R4'S (R-Force). Merekalah kelompok yang paling dahsyat ma'rifah dalam kalangan umat ini.

R = Rasulullah saw

4 = Empat sahabat paling utama (Saiyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali)

S = Sahabat2 utama yang lain.

4S inilah maharaja wali2 Allah.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

2/7/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi


No comments: