Papan catur banyak penjuru, bukan dua sebagaimana selalu.
Banyak pihak di dalamnya, bukan dua sebagaimana biasa.
Maka para pemainnya juga berbilang2, bukan dua seperti yang selalu dipandang.
Para pemain catur di sekeliling papan catur tahu
jika pihak2 di papan catur dibiar tanpa dikacau,
dibebas tanpa dilaga2kan,
dikawan2kan tanpa dibuat saling menyerang,
didiam tanpa diprovok saling menjatuhkan,
maka nanti semua pihak di papan catur itu
akan berganding bahu
menggulingkan para pemain catur di sekeliling meja
yang selama hari ini mencatur mereka
sambil terus mengaut keuntungan2 di sekeliling.
Selagi pihak2 di papan catur
berjaya dibuat sibuk bertentangan,
selagi itulah para pencatur di sekeliling papan catur itu
akan terselamat dan terus mencatur
sambil terus mengaut keuntungan2.
Malangnya majoriti pihak di papan catur yakin
bahawa musuh utama mereka,
yang lebih penting untuk dibereskan,
yang lebih berpahala untuk dihancurkan
ialah pihak2 yang di papan catur,
iaitu sesama mereka.
Padahal yang jauh lebih berbahaya
malah masih sentiasa mencatur
segala pertempuran di papan catur itu
ialah para pencatur yang di sekeliling papan catur.
Tersenyum senang para pencatur.
Memang ada sebilangan kecil
daripada warga papan catur banyak penjuru itu
yang sedar,
malah berusaha dan berikhtiar dengan gigih
mengajak seluruh warga papan catur
agar menghentikan segala sengketa sesama mereka
lalu bersama-sama menyusahkan, menjauhkan,
menjatuhkan, memecahkan, melaga2kan
musuh sebenar semua pihak di papan catur
iaitu para pencatur yang di sekeliling papan catur.
Tetapi pihak2 yang sedang sedap berlaga
di papan catur itu pula
tidak mahu meninggalkan sedap mereka lalu
menyalahkan golongan yang mengajak.
Sepatutnya semua buah
yang sedang berlaga (dilaga2kan) di papan catur
jangan hanya melihat buah2 dan pihak2 lain
di atas papan catur sahaja.
Lihatlah nun jauh di belakang, di luar papan catur dan ke atas sedikit.
Akan ternampaklah kepala dan tangan para pencatur.
Sebahagian daripada mereka jelas wajahnya
sementara yang sebahagian lagi terlindung wajahnya.
Abu Zulfiqar al-Amsyari
7/8/23
No comments:
Post a Comment