Saturday, August 19, 2023

Matlamat Terdekat dalam Belajar Tasawuf

 

Wahai diriku sendiri! Rasulullah saw diutuskan untuk memperindahkan akhlak. Hasil atau dapatan AWAL dalam belajar ilmu tasawuf ini ialah berlakunya perubahan dan pembaikan akhlak pada dirimu.


Walau sudah sangat lama engkau berguru, belajar dan mengamalkan ilmu tasawuf, tetapi akhlakmu masih tidak berubah atau tidak banyak berubah berbanding sebelumnya, maka itulah petanda bahawa ilmu ini tiada atau kurang menjadi manfaat buat dirimu. Jika bahagian2 yang rendah dan awalnya sahaja pun sudah tiada menjadi manfaat, maka bahagian2 pertengahan dan tingginya lagilah tiada menjadi manfaat walaupun engkau punya maklumat2 dan boleh berkata2 tentangnya. Dikhuatiri ia akan menjadi mudarat pula buatmu pada Hari Kemudian nanti.


Sesungguhnya banyak sahaja orang yang mempunyai maklumat tetapi tiada menjadi manfaat. Dan ada orang yang kurang maklumat tetapi sangat bermanfaat.


Maka antara kaedah untuk membuat penilaian kendiri tentang sejauh manakah sudah engkau capai dalam tasawuf ini, bukannya dengan sebanyak mana maklumat yang engkau tahu dan sehebat mana engkau berkata2, tetapi sebanyak mana akhlakmu sudah berubah ke akhlak nabi-nabi, atau ke akhlaknya R4’S (Rasulullah saw, 4 orang sahabat paling utama, dan sahabat2 utama yang lain – merekalah sebaik2 teladan).


Daripada seorang yang pemalas, engkau berubah menjadi rajin.

Daripada kasar menjadi beradab sopan.

Daripada ganas menjadi penyayang.

Daripada buruk tutur kata menjadi baik tutur kata.

Daripada sengaja pengotor menjadi pembersih.

Daripada sengaja selekeh menjadi kemas.

Daripada sengaja kelam-kabut menjadi teratur.

Daripada sengaja berserabut menjadi tersusun.

Daripada penakut tidak bertempat menjadi berani.

Daripada terumbang-ambing menjadi tegas dan stabil.

Daripada lemah yakin menjadi yakin.

Begitulah seterusnya.


Maka selalulah dikau menghisab dirimu sendiri kerana ada sahaja hari2 yang engkau terlupa dan terlencong daripada MATLAMAT TERDEKAT dalam menjadi seorang pejalan tasawuf ini, wahai diriku sendiri.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

19/8/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi


No comments: