Umumnya kita hanya dapat membantu orang yang mahu dibantu.
Kita hanya dapat menolong orang yang bersedia untuk ditolong.
Orang yang tergelincir di tepi gaung lalu dia hanya berpaut dengan sebelah tangan sahaja, kita pun teruslah berusaha menghulurkan tangan untuk menariknya naik. Tetapi dia tidak mahu menghulurkan tangannya yang sebelah lagi kepada kita. Kita pujuk, dia enggan. Tak dapatlah kita mencapai dia.
Tak mengapalah. Boleh jadi dia ada kemahiran tertentu dan mampu naik ke tebing dengan sendiri, lalu dia tidak mahu dibantu. Boleh jadi juga dia ada ego tertentu yang dirasakannya bakal menjatukan maruah dirinya jika ditolong. Maka kita pun baik-baik sahajalah. Kita tarik semula tangan yang dihulurkan tadi. Sambil-sambil itu, kita tetap perhatikan juga dia.
Masa sudah agak lama berlalu. Orang yang berpaut di tepi tebing itu masih juga tidak naik-naik. Jelas kelihatan dia semakin lemah. Sebentar lagi pautannya mungkin akan terlepas. Dia akan jatuh ke dalam gaung. Dengan segeralah kita hulurkan tangan lagi.
Malangnya dia tetap enggan menyambut huluran tangan kita. Walau dipujuk dan diperingatkan berulang kali, dia tak mahu juga. Jika kita masih berkeras untuk mencapainya, kemungkinan besar kita akan turut sama terjatuh ke dalam gaung. Maka, tak dapatlah kita berbuat apa-apa lagi selain daripada meneruskan doa keselamatan yang tidak putus-putus sejak awal tadi.
Kita hanya dapat membantu orang yang mahu dibantu.
Kita hanya dapat menolong orang yang bersedia untuk ditolong.
10/2/22
No comments:
Post a Comment