Sunday, January 18, 2026

Ilmu Yang Tidak Dapat Dipindahkan

 

Berkata Imam al-Ghazali (Ihya’ ‘Ulumuddin) : “Ada pun sebab terbukanya sesuatu hal dalam tidur, dengan contoh yang memerlukan kepada ta’bir, dan begitu pula para malaikat merupakan diri bagi nabi2 dan wali2 dengan bentuk yang bermacam2, maka itu termasuk antara rahsia keajaiban qalbu. Dan ini tidak layak selain dengan ilmu mukasyafah. Maka kami ringkaskan sahaja menurut yang telah kami sebutkan itu. Sesungguhnya itu mencukupilah untuk menggerakkan mujahadah dan mencari kasyaf daripadanya.”

 

Tentang lanjutan kepada keadaan2 yang berlaku yang melibatkan wahyu, ladunni, mimpi, ilham dan yang sewaktu dengannya, pendek kata tidak ada penerangan yang sesuai untuk dikhabarkan. Oleh sebab itulah para guru tidak mengkhabarkannya melainkan jika perlu pun, sekadar amat sedikit, dan selalu juga dalam rumus2 atau isyarat2 tertentu sahaja.

 

Ada hal2 yang maklumatnya boleh dipindahkan dari kepala ke kepala. Guru boleh bercerita kepada murid, atau beri teks (kitab, buku, bahan2 bacaan, poster sb), atau beri audio video (untuk didengar atau ditonton).

Tetapi ada pula hal2, ilmu dan pemahaman yang tak dapat hendak dipindahkan dari satu kepala ke kepala yang lain. Melainkan murid kena mengalaminya sendiri. Jika cuba hendak dipindahkan juga, akan datang mudarat kemudiannya. Ada bahaya2nya.

 

Contoh : Macam mana bau hapak, bau tengit dan bau hanyir?

Apa perbezaan ketiga-tiganya?

 

Macam mana kita nak terangkan bau2 ini dan perbezaannya kepada orang2 yang tak pernah menciumnya, merasainya, melaluinya, mengalaminya?

Memang sangat sukar, dan boleh mendatangkan salah faham dan kekeliruan.

 

Melainkan kita beri tunjuk ajar dan panduan kepada dia agar dia dapat pergi sendiri, mencium sendiri, merasai sendiri, melalui sendiri dan mengalaminya sendiri. Barulah dia dapat mengenal bau2 tersebut dan perbezaannya.

 

Kita ambil satu contoh rekaan :

Kamu pernah tengok ikan tak?

Tak pernah. Pernah tengok gambar je.

Ok. Kamu turun gunung, pergi ke pekan. Tanya orang : Pasar kat mana? Sampai di pasar kamu akan nampak banyak ikan macam dalam gambar2 yang pernah kamu tengok. Masa tu kamu akan tercium bau ikan. Bau ikan itulah yang dikatakan bau hanyir. Sekadar satu contoh mudah.

 

Tok guru bagi ilmu, bagi panduan, bagitau cara2, bagitau tindakan2 yang kena dibuat – ikut yang itu insya-Allah dapatlah mencium, merasai, melalui dan mengalami bau hanyir tu tadi. Dia kena usaha. Berjaya atau tidak, belum tahu lagi. Namun setiap kali dia bertindak, dia semakin menghampiri matlamat.

 

Tapi kalau harap tok guru nak bercerita, dan harap dia nak dapat faham melalui cerita tu – sampai ke sudah dia tak dapat tahu macam mana bau hanyir tu.

 

Apa kata Imam al-Ghazali tadi?

“Ada pun sebab terbukanya sesuatu hal dalam tidur, dengan contoh yang memerlukan kepada ta’bir, dan begitu pula para malaikat merupakan diri bagi nabi2 dan wali2 dengan bentuk yang bermacam2, maka itu termasuk antara rahsia keajaiban qalbu.”

 

Jadi, hendak memahamkan murid2 tentang ta’bir mimpi – Macam mana tok guru tahu ta’bir, ta’wil dan tafsir mimpi tu? Mengapa benda2 sekian2 maka ta’wilnya begini dan begini? Mengapa isi kandungan mimpi tu macam tu? Mengapa kadang2 nabi dapat wahyu melalui malaikat? Mengapa begitu rupa malaikat tu dan lain pula rupanya pada waktu yang lain? Pendek kata, hal2 itu berada dalam wilayah sirr (rahsia) yang tak tercapai untuk diungkapkan dalam bahasa manusia. Jika didesak juga, maka guru mungkin akan cuba bercerita tetapi hal itu boleh membuatkan si murid membuat sangkaan yang tersasar lalu akhirnya si murid yang tersesat.

 

Kata al-imam : Dan ini tidak layak selain dengan ilmu mukasyafah. Maka kami ringkaskan sahaja menurut yang telah kami sebutkan itu. Sesungguhnya itu mencukupilah untuk menggerakkan mujahadah dan mencari kasyaf daripadanya.”

 

Ilmu wilayah mu’amalah kita boleh cerita. Tapi ilmu wilayah mukasyafah, amat susah nak dicerita. Jadi, tok2 guru bagi jalan, panduan, tatacara untuk bergerak/ bertindak pada level gigih (mujahadah) menuju ke arah hal2 tersebut. Terpulanglah kepada murid2 untuk mengikut atau tidak. Jika sanggup mujahadah mengikut, insya-Allah cepat, insya-Allah dapat. Jika tak mahu mengikut, biasanya akan lambat, dan mungkin akan tak dapat.

 

-          Petikan pengajian kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin kali ke-303 pada 10.1.26

No comments: