Friday, January 30, 2026

Apa Itu Israk dan Mikraj?

 

Apa itu al-israa’?

Al-israa’ dari segi bahasa Arabnya bermaksud diperjalankan jauh pada waktu malam. Dari segi peristiwa, al-isra’ bermaksud diperjalankan Nabi Muhammad SAW secara ajaib pada waktu malam dari Makkah (Mekah) ke Masjid Baitul Maqdis di Palestin.

 

Apa pula maksud al-mi’raaj?

Al-mi’raaj dari segi bahasa Arabnya bermaksud tangga atau sesuatu binaan yang membolehkan kita naik ke tempat yang lebih tinggi. Dari segi peristiwa pula, mi’raaj bermaksud diperjalankan yakni diangkat Nabi Muhammad SAW dari Masjid Baitul Maqdis di Palestin naik ke langit hingga sampai ke sidratul muntaha.

 

Pendek kata, peristiwa al-israa’ ini merupakan perjalanan mendatar. Sementara peristiwa al-mi’raaj itu pula merupakan perjalanan menaik. Namun ada juga ulama yang mengatakan bahawa kedua2 peristiwa ini adalah isra’. Perjalanan Nabi dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin itu isra’, dan perjalanan Nabi dari Baitul Maqdis ke langit iaitu mi’raaj itu juga isra’. Kedua-duanya adalah perjalanan ajaib yang jauh, pada waktu malam.

 

Jadi, apakah maksud peristiwa israa’ wal mi’raaj?

Peristiwa Nabi Muhammad SAW diperjalankan oleh Allah dalam keadaan yang ajaib dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu kemudiannya diperjalankan pula dari Baitul Maqdis naik ke langit sampailah ke sidratul muntaha, lalu turun semula di Palestin, lalu pulang semula ke Makkah, dalam masa satu malam sahaja. Itulah peristiwa isra’ wal mi’raaj.

 

-          Petikan nota daripada Ceramah Isra’ wal Mi’raaj oleh Paklong Abu Zulfiqar pada 16 Januari 2026

No comments: