Sunday, September 28, 2025

4 Tingkatan Tauhid Menurut Imam Al-Ghazali

 

4 TINGKATAN TAUHID MENURUT IMAM AL-GHAZALI (petikan live streaming 25 Ogos 2025)

 

Pertama : Tauhid tingkat kulit kepada kulit (contohnya sabut buah kelapa) – Orang yang mengucapkan “La Ilahaillallah” tetapi hatinya lalai atau hatinya memungkirinya. Contohnya tauhid orang munafik. Mereka hanya berpura-pura mengimaninya tetapi sebenarnya mereka tidak percaya pun. Ucap memang mereka ucap tetapi di dalam hati sebenarnya mereka menolak. Mereka buat kerana terpaksa atau atas kepentingan2 tertentu.

 

Kedua : Tauhid tingkat kulit (contohnya tempurung kelapa) – Orang yang mengakui kalimah ini sebagaimana umumnya kaum muslimin. Ini iktiqad orang awwam.

 

Ketiga : Tauhid tingkat isi (contohnya isi kelapa) – Orang yang mengakui kalimah ini dan berjaya memahami hakikat bahawa semuanya daripada Allah. Orang jenis ini sudah mula memandang tembus (kasyaf). Contohnya dia sudah membiasakan memandang bahawa semua perlakuan makhluk pada hakikatnya tidak lain ialah pekerjaan Allah semata-mata. Setelah belajar hakikat, setelah memandang hakikat, lalu jadilah ma’rifat.

 

Keempat : Tauhid tingkat isi kepada isi (minyak kelapa) – Orang yang sudah tenggelam dalam tauhid. Tidak dilihatnya pada yang wujud ini selain Yang Esa. Tiada dilihatnya dirinya sendiri kerana sudah tenggelam dalam tauhid. Lalu ia fana’ daripada memandang dirinya dan makhluk. Ketika itu yang ada hanyalah Allah.

 

Dalam hal2 lain sekiranya kita ketinggalan atau kerugian, umumnya masih tidak mengapa lagi. Tapi jiak kita ketingalan atau kerugian dalam tauhid, amatlah rugi.

Memahami Syariat dan Hakikat

 

MEMAHAMI SYARIAT DAN HAKIKAT (petikan live streaming 25 Ogos 2025)

 

Allah SWT berfirman : “Katakan : Yang mengambil nyawa kamu ialah malakul maut.” (As-Sajdah : 11)

Ayat ini bercerita dari sudut syariat. Yang mengambil nyawa kita ialah makhluk, iaitu malaikat maut.

 

FirmanNya : “Allah yang mengambil nyawa itu ketika matinya.” (Az-Zumar : 42)

Ayat ini pula bercerita tentang hakikat. Sebenarnya yang mengambil nyawa itu ialah Allah SWT sendiri. Dari segi hakikatnya, hanya Dia sahaja yang ada kuasa, selain daripada Dia langsung tidak ada sebarang daya upaya.

 

Firman-Nya : “Perangilah mereka. Allah akan menyeksa mereka dengan tangan kamu.” (At-Taubah : 14) Pada syariatnya, manusia yang mencederakan dan membunuh musuh-musuh.

 

Tetapi pada hakikatnya : “Sebenarnya bukan engkau yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh.” (Al-Anfal : 17)

“Dan bukan engkau yang melempar ketika engkau melempar, tetapi Allah yang melempar.” (Al-Anfal : 17)

Tawakal Dalam Berubat

 

TAWAKAL DALAM BERUBAT (petikan live streaming 25 Ogos 2025)

 

Apabila terdapat bahagian diri kita yang mulai melemah, merosak dan tidak sihat, kita memerlukan usaha dan ikhtiar untuk menguatkan, memulihkan dan menyihatkannya kembali. Usaha-usaha untuk menghilangkan atau mengurangkan kelemahan, kerosakan dan ketidaksihatan itu terbahagi kepada beberapa keadaan iaitu :

 

Pertama : Usaha yang dari segi logiknya kita yakin pasti akan berlaku perubahan. Contohnya minum air biasanya pasti akan dapat menghilangkan rasa haus dan makan roti (atau makanan ruji yang lain) biasanya pasti akan menghilangkan rasa lapar. Kaitannya sangat jelas. Sesiapa yang sengaja meninggalkan makan dan minum dengan alasan untuk bertawakkal, hal itu bukanlah tawakal. Sekiranya dengan meninggalkan makan minum itu boleh membawa kepada kematian, perbuatan itu adalah haram.

 

Kedua : Usaha yang dari segi logiknya akan berlaku perubahan tetapi tidak kuat kepastiannya sebagaimana keadaan pertama tadi. Contohnya dengan berbekam, minum ubat, dan dalam hal ehwal kedoktoran yang lain. Kaitannya agak jelas. Apabila kita melakukan usaha sebegini, hal ini tidaklah bertentangan dengan tawakal.

 

Ketiga : Usaha yang dari segi logiknya tidak akan membawa perubahan. Contohnya berubat melalui ilmu tenung/tilik dan mentera-mentera. Tiada kaitan. Jelasnya berubat tidaklah berlawanan dengan tawakal. Buktinya adalah daripada sunnah Rasulullah saw sendiri.

 

Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah daripada suatu penyakit pun melainkan ada ubatnya, yang diketahui oleh orang yang tahu, dan yang tidak diketahui oleh orang yang tidak tahu, kecuali as-sam (mati).” (Ahmad, Thabrani)

 

Sabda Nabi SAW : “Berubatlah wahai hamba Allah! Sesungguhnya Allah menjadikan penyakit dan ubat.” (Turmizi, Ibnu Majah)

 

Sabda baginda SAW : “Tidaklah aku melalui suatu jemaah pun daripada malaikat melainkan mereka mengatakan : “Suruhlah umatmu berbekam.” (Turmizi, hadith hasan gharib)