Tuesday, February 1, 2022

Nur Muhammad yang Sebenar, yang Benar dan yang Tak Benar

 

Nur Muhammad itu

ada yang sebenar,

ada yang bukan sebenar tetapi masih benar,

dan ada yang tidak benar.


Yang sebenar itu, sangat sedikit.

Yang bukan sebenar tetapi masih dikira benar itu, agak banyak.

Yang tidak benar, itu yang paling banyak.


Ibaratnya - 7 generasi yang lalu, salah seorang tokoh leluhur kita tiba-tiba pada suatu hari berkata, "Aku sudah jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam!" Ketika itu seluruh ahli keluarga faham bahawa yang dimaksudkan oleh tokoh itu ialah aspek keagamaannya yang sudah banyak merudum. Tiada sebarang perbezaan pandangan apatah lagi pertikaian pendapat.


Kata-kata si tokoh pun disampaikanlah dari mulut ke mulut sepanjang tujuh generasi itu. Pada generasi ke tujuh, suatu hari anak cucu berbincang tentang maksud sebenar kata-kata si tokoh dahulu yang berbunyi, "Aku sudah jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam!".


Majoriti keturunannya percaya bahawa tokoh itu benar-benar terjatuh ke dalam sebuah gaung yang sangat dalam suatu ketika dahulu. Bapa aku yang bagitau begitu, datuk kita yang cerita pada aku, mak long yang cakap macam tu semalam... masing-masing akan pertahankan sumber masing-masing. Tetapi khabar yang ini adalah khabar yang salah.


Minoriti keturunannya pula percaya bahawa si tokoh tidak jatuh ke dalam gaung, tetapi kehidupannya ketika itu sedang mengalami kejatuhan. Buktinya, ketika itu dikatakan perdagangannya antara Sumatera-Melaka mengalami kerugian, kapalnya dirompak lanun dan gudangnya di Melaka pula terbakar. Hal ini tidaklah menjauhi kebenaran tetapi bukan yang sebenarnya atau bukan yang tepat dengan maksud kata-kata yang dikeluarkannya ketika itu.


Hanya beberapa orang sahaja keturunannya yang masih yakin bahawa kata-kata si tokoh ketika itu sebenarnya adalah tentang aspek keagamaannya, bukannya kerana perdagangan yang kerugian, walaupun perdagangan yang kerugian itulah yang membuatkan keagamaannya merudum buat seketika kerana kelemahannya dalam menghadapi ujian Allah.


31/1/22


No comments: