Wednesday, February 2, 2022

Bacaan Pak Guru

 

"Anakku... nanti suatu ketika... sebahagian daripada generasi ini akan dapat menyaksikan banyak manusia sangat takut untuk mendirikan rumah tangga, sangat memilih untuk mendapatkan pasangan hidup dan menantu, sangat takut untuk hamil, dan sangat takut untuk melahirkan keturunan."


"Mengapa begitu pak guru?"


"Kerana ketika itu mereka sudah menyaksikan apa yang dahulunya "disaksikan" oleh orang-orang soleh sebelum mereka."


"Ah, malangnya hamba ini pak guru! Sehingga sekarang masih belum berpunya walaupun hamba sudah agak bersedia. Masihkah ada kesempatan untuk hamba? Apakah sudah barang perlu bagi hamba? Di manakah hamba hendak mencarinya?"


"Janganlah anakku bergundah begitu. Untung malangnya belumlah tentu. Kita berserah kepada Dia Yang Satu. Namun usaha dan ikhtiar yang jitu sudahlah barang tentu. Peluang masih banyak ada. Tidaklah jatuh perlu bagi engkau anakku, tetapi bagus untuk dimulai kerja. Sedapat-dapatnya, dahulukan yang bagus lagi sihat agama, dan bagus lagi sihat pula keturunannya."


"Bagaimana seandainya hamba tidak mendapat sebagaimana yang dikata?"


"Oh, tidak mengapa! Kita berusaha dan berikhtiar cuma. Hanya Dia penentu segala. Ramai saja manusia yang berbahagia, sekalipun kurang agama dan kurang sihat pada awalnya."


"Alhamdulillah. Kalau begitu pesan pak guru, sedaplah sudah di dalam kalbu. Hamba bermohon diri dahulu. Nak bertafakur akan "bunga" yang mana satu."


"Silakan anakku."


2/2/22

No comments: