Sunday, February 6, 2022

Antara Bahaya Kena Hipnotis

 

PERTANYAAN : Saya terbaca artikel ustaz pasal jangan kena hipnotis tu. Apa bahaya-bahayanya ustaz? Cerita ringkas lebih kurang pun ok untuk dapat gambaran.


JAWAPAN : Secara ringkasnya, antara bahaya-bahayanya - kita dengan senang hati dan tenang hati akan buat atau meyakini sesuatu yang memang kita tak mahu buat atau tak mahu percaya, dalam keadaan kita jaga.


Contohnya jika diletakkan selonggok cacing lalu diminta memakannya kerana dikatakan yang itu sebenarnya ialah sepinggan mi, maka kita akan makan dengan senang hati. Jika diletakkan secawan racun rumpai lalu digambarkan atau diisyaratkan bahawa air racun itu ialah sejenis ubat kebal atau ubat kuat bervitamin yang banyak khasiatnya, kita akan meminumnya dengan senang dan tenang hati.


Jika seseorang itu sebenarnya jahat hati budi dan perilaku lalu dikatakan bahawa dia seorang wali Allah, kita akan terdorong untuk memandangnya sebagai seorang yang soleh, suci lagi mulia. Seseorang yang sebenarnya lemah tubuh badan lagi kurus kecil, tetapi kita takuti kerana meyakini orang itu gagah perkasa lagi kebal tubuhnya. Jika seseorang itu menyentakkan selembar kain, kita akan tertawa terbahak-bahak kerana kita diyakinkan lalu meyakini bahawa yang disentak itu ialah urat tertawa dalam tubuh badan kita. Begitulah, macam-macam lagi.


Jin-jin jahat banyak guna hipnotis ke atas manusia (manusia pun ramai sebenarnya). Sebab itu kita lihat sendiri atau dengar cerita seseorang itu sedang makan sekumpulan serangga tetapi orang itu sendiri melihat serangga2 itu ialah kuih-muih yang lazat. Kita lihat dia sedang berbaring di tempat pembuangan sampah dan longkang busuk, tetapi dia sendiri mengatakan dia sedang berada di alam jin. Dia sedang tertiarap di atas batu-batu kecil di tepi sungai setelah hilang berhari-hari, tetapi dia katakan dia sedang berbaring atas banyak duit2 emas (batu-batu kecil itulah) sampaikan tak terlarat nak kutip. Kita lihat dia berpusing-pusing keliling tandas, tetapi dia sendiri nampak dirinya sedang bertawaf di Kaabah alam para wali. Macam2 hal.


Yang betul2 ke alam sana pun ada, yang sebenarnya terhipnotis sahaja pun ada. Bagi yang terhipnotis, setelah pulih atau setelah dipulihkan, insya-Allah kembali biasalah dia. Cacing akan nampak cacingnya, racun nampak racunnya, kain jelas kainnya, seranga jelas serangganya, tandas jelas tandasnya.


Pernah ada seorang ahli beladiri yang dihipnotis secara senyap2 oleh gurunya masih menyangkakan sebilah keris gurunya ialah ular ganas yang hidup. Bertahun2 selepas gurunya meninggal dunia, jika dia terpandang keris tersebut, dia masih lagi melihatnya sebagai seekor ular hidup. Setelah diputuskan hipnotisnya, barulah dia nampak kenyataan.


Itulah antara contoh-contohnya.


6/2/22

No comments: