Friday, February 11, 2022

Tukar Label Je

 

Teringat zaman remaja, lebih kurang 30 tahun yang lalu. Waktu itu anak-anak muda ramai belajar silat. Antara silat yang yang sangat masyhur lagi dicari-cari oleh mereka ialah Silat Selindung Tanah Melayu (bukan nama sebenar silat tersebut, sekadar nama rekaan untuk penulisan ini). Di mana-mana ada gelanggang silat selindung, ramailah anak muridnya.


Ada seorang guru silat yang hebat juga. Dia membawa satu silat yang tidak ada nama rasmi yang didaftarkan tetapi dikatakan namanya silat pendinding (juga bukan nama sebenar silat tersebut, sekadar nama rekaan untuk penulisan ini). Tetapi silat pendinding itu di sebelah sini kurang popular. Jadi gelanggangnya pun hidup segan mati tak mahu. Adalah dua tiga kerat murid dan selalu ponteng pulak tu. Sebahagiannya sudah berpindah ke gelanggang2 silat selindung di sekitar kawasan itu walaupun baru dibuka.


Suatu ketika si guru buka gelanggang baharu di kawasan lain yang jauh sedikit daripada lokasi asal. Tiba-tiba gelanggangnya meriah. Berpuluh-puluh orang anak murid baharu. Kami pun berasa pelik juga.


Rupa-rupanya dia hanya tukar nama sahaja. Oleh kerana anak-anak muda banyak yang mencari Silat Selindung Tanah Melayu, dia pun telah memberitahu orang ramai bahawa silatnya juga bernama silat selindung (tanpa disebutnya kalimah Tanah Melayu). Dengar sahaja ada gelanggang baru silat selindung, berbondong-bondonglah anak-anak muda mendaftar. Apa yang orang mahu, itulah dia beri walaupun sebenarnya tidak sama bendanya.


Pada awalnya orang-orang Silat Selindung Tanah Melayu bising2 juga tetapi lama-kelamaan senyap sahajalah. Hal ini kerana si guru bertegas yang dia tidak menggunakan nama Silat Selindung Tanah Melayu tetapi silat selindung sahaja. Apabila ditekan2, katanya nama penuh silatnya ialah silat selindung sakti pula. Kedua-dua silat ini tidak sama. Maka tak bolehlah hendak dibuat apa-apa kepadanya.


Namun bagi kebanyakan anak-anak muda belasan tahun dan awal 20-an, mereka bukan peduli Tanah Melayu ke sakti ke, yang penting mereka percaya, belajar dan dikenali sebagai ahli silat selindung je. Kami murid-murid silat selindung asli ni senyum je le mendengar murid-murid gelanggang itu mengaku dapat silat selindung juga. Jauh berbeza isi kandungannya. Biarlah mereka bahagia dengan apa yang mereka percaya kerana itu yang mereka cita.


Dalam Silat Selindung Tanah Melayu ini ada pelajaran kesuakaan ramai ketika itu iaitu permainan harimau dan sedikit akrobatik. Sementara dalam silat pendinding boleh dikatakan tiada permainan ini. Silat pendinding terkenal dengan permainan tangan cepat. Selepas tujuh lapan bulan belajar, barulah murid-murid sebelah sana sedar yang mereka sangat kurang diberi penekanan akrobatik dan tiada permainan harimau. Yang mereka ambil itu bukanlah silat selindung tetapi silat lain yang dinamakan sebagai silat selindung juga.


Macam segelintir penjual madu jugalah. Oleh kerana ramai pelanggan yang lalu di gerai bertanya tentang madu tualang, maka madu yang dijualnya pun selepas itu dinamakannya sebagai madu tualang juga sedangkan madunya tu madu hutan yang dicampur dengan bahan lain untuk dibanyakkan.


7/2/22


No comments: