Tuesday, February 1, 2022

Tak Pasti Jangan Kongsi

 

Tahun 2010... zaman sahaya paling aktif dalam perubatan tradisi Islami/nabawi (atau apa jualah namanya asalkan maksudnya sama). Suatu ketika, salah seorang kenalan muallij (pernah seperguruan) meminta jasa baik sahaya untuk mempromosikan produk minuman kesihatan dan penawar yang menurutnya dihasilkannya sendiri.


Apabila kita MEMPERKENALKAN atau mempromosi sesuatu bahan beserta dengan khasiat2nya, hal itu bererti kita meyakini, seakan-akan mengesahkan, dan tentunya MENGGALAKKAN orang lain untuk membeli dan meminumnya. Mengikut etika para perawat Muslim zaman-berzaman yang diperturunkan oleh guru-guru sahaya, kita yang memperkenalkan itu turut berhak DIPERTANGGUNGJAWABKAN sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, MENGIKUT KADAR-KADAR YANG TERTENTU bergantung kepada sebanyak mana dan sejauh mana penglibatan kita di dalamnya.


Jadi, sebagai memenuhi etika dan langkah berhati-hati, sahaya pun meminta dia menjelaskan SECARA UMUM sahaja (tidak perlu sampai tersentimeter) isi kandungan produknya itu dari segi bahan2nya, bacaan2nya dan amalan2nya. Hal ini kerana ada antara bahan2 yang tertera itu tidak sahaya kenali.


Malangnya dia seakan-akan kurang ikhlas menjawab walaupun yang diminta itu secara UMUM sahaja. Tidak perlu dibuktikan dengan kajian makmal di depan mata sahaya pun. Contohnya, tertulis di sana, "Gula, Kopi Arabica, Krimer Bukan Tenusu, Tongkat Ali, dan herba-herba pilihan."


Apa dia HERBA-HERBA PILIHAN tu? Ceritalah sikit. Kalau menipu pun, saya bukannya tahu. Sekadar hendakkan pengakuan mulut sahaja antara sesama mukmin. Tetapi dia enggan dengan alasan bahagian itu adalah RAHSIA. Maka sahaya pun beritahu tak mengapalah, tapi tidaklah sahaya pernah memperkenalkan air penawarnya itu.


TIDAK PASTI, JANGAN KONGSI! Sebegitulah yang sahaya pegang. Macam manalah sahaya hendak perkenalkan (ertinya menggalakkan orang mencari, membeli dan minum) dalam keadaan sahaya tidak tahu lagi tidak pasti akan isi kandungannya walaupun secara umum sahaja yang diminta. Manalah tahu, boleh jadi bahan-bahan yang digunakannya itu ada yang mengandungi mudarat, ada yang bersifat racun terselindung, tidak halal, berisi benda-benda kotor atau najis, mengandungi bahan-bahan khayal lagi menyebabkan seakan-akan ketagihan, atau ada dua bahan yang asalnya manfaat tetapi jika dicampur boleh jadi mudarat, atau ada bahan dan tumbuhan yang biasa digunakan dalam proses menyihir.


Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu dan tidak pasti ISI KANDUNGANNYA, jangan sesekali memperkenalkan, menyarankan atau menggalakkan kepada orang lain. Setelah tahu dan pasti bahan-bahannya, silakanlah.


Sekiranya sahaya cadangkan kepada orang2 yang datang meminta khidmat rawatan sahaya untuk meminumnya, tiba2 katakanlah ada beberapa orang yang terkena mudarat atau meninggal dunia disebabkan air tersebut, maka dari segi etika tabib Islami, sahaya kena ada terlibat dalam menangggung perbelanjaan harian mereka dan kos rawatan si terkena mudarat. Buatnya yang kena itu ramai pula, habislah sahaya!


Sejak itu hubungan kami yang memang tidak berapa rapat itu pun jadi semakin menjaraklah. Nak buat macam mana, sahaya terpaksa mempertahankan prisnsip kebenaran sekalipun majoriti orang atas dan orang bawahan kami dalam perguruan kami itu berpegang yang sebaliknya. Guru tak setuju, ramai tak ambil kisah, tapi ramai lagi yang nak mencari duit lebih lalu berjuallah mereka.


Tapi memang benar, produknya tidak bertahan lama pun. Setelah beberapa kali pengguna pertikaikan produknya, senyap begitu sahajalah. Sefaham sahaya, setahun dua lepas itu tidaklah kedengaran lagi dia ada merawat orang. Selepas2 itu jika dia kembali aktif, wallahu'alam.


31/1/22

No comments: