Wednesday, February 2, 2022

Merawat Punca dan Merawat Akibat (Kisah Si Anai-anai)

 

BAGAIKAN rumah Melayu lama... tangga turun ke dapur rosak dimakan anai-anai, lalu dipangillah sahaya si tukang rumah sambil-sambilan yang sangat kurang ilmu lagi percuma khidmatnya ini untuk perbaiki mana-mana yang patut. Insya-Allah elok sedikitlah tangganya tetapi... anai-anainya masih ada juga di rumah itu.


Tiga hari kemudian, para di dapur nak roboh dimakan anai-anai, dipanggil sahaya lagi. Insya-Allah bolehlah cuba dibaiki walaupun tidak sebaik yang asal tapi... anai-anainya masih ada juga.


Selang dua minggu, rangka pintu tepi dan tangganya pula sudah berongga di dalam (dimakan si anai-anai) walaupun cantik dipandang dari luar, lalu dipanggil sahaya lagi. Sahaya pergi dan insya-Allah bolehlah cuba "diubati" walaupun tanpa pulih sepenuhnya. Tetapi... anai-anainya masih ada juga.


Lepas dua minggu kemudian, beberapa kayu dan papan di beranda pula baru diperasan. Perbaik lagi. Tapi...anai-anainya masih ada di rumah itu lagi.


Sebulan berlalu, bahagian bilik utama pula asyik pecah kayunya apabila dipegang di sana sini. Takut kalau2 terperlus kaki atau terus terjatuh berderum ke bawah rumah. Disuruh sahaya lagi. Sahaya pun cuba lagi. Banyaklah kos nak perbaik dan perganti itu ini untuk sebuah bilik. Bolehlah berbilik lagi tapi tidaklah sebaik binaan bilik yang asal kerana sahaya hanya tukang sambil-sambilan atas sukarela yang memang kurang ilmu. Tapi... anai-anainya dok ada lagi.


Jadi, sampai bila mahu terus dirawat dan diubat itu dan ini berkali-kali? Penyakit2 rumah akan terus berulang-ulang. Masalahnya ialah pada anai-anai. Selagi anai-anainya masih di rumah itu, selagi itulah penyakit2 akan datang melanda.


Yang paling penting sekarang - buang, halau atau matikan anai-anai di samping merawat bahagian-bahagian rumah yang rosak. Lama-kelamaan, semakin membaiklah rumah tersebut. Tetapi sahaya tidak punya ilmu untuk menjauhkan atau mematikan terus anai-anai. Sahaya hanya ada sedikit kebolehan untuk mengurangkan jumlah anai-anai sahaja untuk tempoh masa tertentu. Selepas itu, ia akan membiak beribu-ribu ekor kembali juga.


Bukankah ada petua-petua tradisional dan ubat (sebenarnya racun tetapi kita biasa panggil sebagai ubat), bahan, dan teknik menghapuskan anai-anai yang moden? Memang benar, tetapi kali ini anai-anainya jenis yang tidak pernah kita temui lagi tidak pernah diketahui wujudnya sebelum ini. Pada adatnya, gunalah semua itu untuk menanganinya tetapi ia hanya dapat mengurangkan jumlahnya buat sementara waktu sahaja. Ia tetap akan terus ada di sana melainkan berlaku sesuatu keajaiban. Anai-anai jenis ini punya ratu dan istana yang masuk sangat jauh ke dalam bumi di bawah tapak rumah, ke tempat anai-anai biasa tidak sampai ke situ. Racun anai-anai pun tak sampai ke situ, tetapi bolehlah sekadar untuk menghapuskan sebahagian besar anai-anai yang naik ke atas. Jadilah.


Maka, tuan rumah kena terus berusaha dan berikhtiar untuk mengurangkan jumlah anai-anai itu dan dalam masa yang sama mengharapkan agar keajaiban berlaku. Keajaiban bukanlah perkara mustahil atas izin Allah. Kan setiap hari ada sahaja keajaiban yang Allah izinkan berlaku di sana sini? Cuma, jangan hanya berharap pada keajaiban sahaja tanpa berusaha dan berikhtiar dengan gigih.


(*Sahaya tak pandai bertukang. Ini cerita berubat walaupun kisahnya tentang bertukang)


(*Ada tuan rumah yang berasa ok sahaja memanggil kita perbaiki rumah berulang-kali tanpa mahu ambil peduli tentang anai-anai. Yang penting bagi mereka, bahagian2 yang rosak terus diperbaiki. Itu sahaja. Jika bahagian2 yang rosak dapat diperbetulkan dan kelihatan cantik, cukuplah. Anai-anai punya cerita, jangan disebut-sebut lagi. Mereka tak anggap anai-anai itu berbahaya dan ada yang tidak percaya bahawa anai-anai itulah punca. Bukannya mereka tak tahu bahawa dalam kampung itu pun sudah ada 2-3 buah rumah yang ranap keseluruhan atau runtuh sebahagian secara tiba-tiba tapi mungkin berasa yakin sendiri bahawa kejadian sebegitu tak selalu ada dan biasanya orang-orang lain yang kena. Maka tak adalah yang boleh kita buat lagi melainkan kita sarankan agar dipanggil tukang rumah yang lainlah pula. Cuma pesan terakhir kita, jangan dibawa masuk sebarang makanan, bahan atau benda yang menjadi kesukaan anai-anai ke dalam rumah dan di sekitar kawasan rumah. Dikhuatiri nanti akan jadi penggalak kepada si ratu yang bertakhta untuk bertelur. Jika biasanya ia bertelur 30,000 biji dalam 24 jam, nanti jadi 100,000 biji dalam 24 jam. Lagilah cepat runtuh atau ranap rumah )


2/2/22


No comments: